Kalau Mesir dikenali dengan “Bumi Anbia”, maka Maghribi ialah “Bumi Aulia”. Begitulah istilah yang masyhur di negara Islam hujung Barat Afrika yang terkenal suatu ketika dahulu sebagai al-Maghrib al-Aqsha dalam kitab-kitab sejarah Islam dan Barat Islam (western Islam) oleh para orientalis.
Bagaimana tidak? Di tanah inilah tempat lahir dan dikebumikan beribu wali Allah yang soleh serta ulama yang tidak dapat dihitung dengan jari.
Siapa yang tidak kenal al-Qadhi ‘Iyadh (w. 544H/1149M) yang mengarang kitab al-Shifa yang menceritakan tentang Rasulullah SAW.
Di negeri bertuah ini jugalah tempat lahir dan wafatnya Sheikh Muhammad Ibn Ajarrum al-Sanhaji‚ (w. 723H/1323M), yang kitab nahu bahasa Arabnya terkenal seantero dunia, kitab al-Ajurumiyyah.
Negara Maghribi berada di sebelah barat Algeria, utara Maurintania, selatan Sepanyol dan timur Laut Atlantik. Bahasa rasminya ialah bahasa Arab dan Perancis. Selain itu, bahasa Amazigh dan juga dialek Arab setempat dengan nama Darijah juga menjadi bahasa utama bagi rakyat negara ini. Maghribi dipimpin oleh seorang raja daripada Dinasti Alawiyyin yang salasilahnya sampai kepada Rasulullah SAW, iaitu Raja Muhammad VI.
Di Maghribi juga, tempat bertapaknya universiti tertua dunia iaitu Universiti Qarawiyyin di Fez yang dibina pada tahun 245H/859M oleh Fatimah binti Muhammad al-Fihri al-Qairawani (w. 266H/878M), seorang wanita solehah kaya dari Qairawan, Tunisia.
Maka berkat Universiti Qarawiyyin inilah, lahirnya para ulama sehingga sekarang seperti Al-Qadi Abu Bakr bin al-Arabi (w. 543H/1148M) seorang ulama fikah Maliki terkenal dunia; Sidi Ali ibn Harazim (w. 559H/1163M) wali yang pernah membakar kitab al-Ihya’ Imam al-Ghazali lalu bermimpi dirotan dan setelah itu bangun dan bertaubat; Sidi Ahmad bin Idris (w. 1253H/1837M) pencetus tarekat Idrisiyyah yang terkenal sampai di Tanah Melayu yang juga merupakan keturunan Maulay Idris II (w. 213H/828M), iaitu pengasas Dinasti Idrisiyyah sebagai dinasti Islam pertama di Maghribi.

PERTAHAN TIGA ASAS
Sebenarnya, Maghribi tidaklah jauh berbeza dengan nusantara dari segi budaya dan pemahaman agama Islam mereka.
Mereka berpegang kepada tiga asas iaitu akidah Asy’ariyyah, fiqh Maliki, dan tasauf al-Junaydi. Hal ini sebagaimana yang tercatat dalam sebuah kitab utama mereka yang berjudul al-Mursyid al-Mu’in yang dikarang oleh wali agung, Ibn ‘Ashir (w. 1040H/1631M).
Kerajaan Maghribi sehingga kini masih menjaga ketiga-tiga asas ini. Pengajian kitab-kitab akidah Asy’ariyyah menjadi panduan utama di pondok-pondok dan universiti. Fikah Maliki pula menjadi amalan seluruh rakyatnya, dan bertasauf mengikuti manhaj Imam Junayd sangat dilindungi sehingga banyak tarekat sufi yang muncul di negara 1000 Benteng ini.
Bagaimana tidak? Maulay Abdussalam Ibn Mashish (w. 626H/1228M), seorang sufi terkenal dunia yang juga guru kepada Imam Abu al-Hassan al-Shadhil (w. 656H/1258M), pengasas tarekat Shadhiliyyah juga berasal dari negara bertuah ini.
Walaupun Maghribi sebuah negara sufi dan bertarekat, ilmu tidak pernah luput dalam jiwa mereka. Ini menunjukkan tasauf dan syariah berpisah tiada. Maghribi adalah negara yang memiliki ramai huffaz dengan qiraat Warsh. Sehinggakan Ibn Khaldun (w. 808H/1406M) dalam kitab al-Muqaddimahnya mengatakan budaya penduduk Maghribi adalah mendidik anak-anak kecil mereka menghafal al-Quran sebelum memasukkannya ke dalam madrasah untuk mempelajari nahu, sorof, fikah, akidah dan lain-lain. Ini menyebabkan tiada seorang pun murid boleh menuntut ilmu lain, sebelum selesai menghafal al-Quran.
Dengan ini, ulama yang alim juga sufi banyak lahir di Maghribi. Mereka bukan sahaja hafiz al-Quran, tetapi ramai juga hafiz hadis Rasulullah SAW. Siapa yang tidak kenal dengan keluarga al-Ghumari, seperti al-Hafiz Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1380H/1960M) yang terkenal sebagai sufi dan muhaddis bertaraf hafiz.
Keluarga keturunan al-Hassani ini adalah keluarga yang memimpin tarekat al-Siddiqiyyah, yang berpusat di kota Tangier, utara Maghribi. Ia juga tempat kelahiran pengembara terkenal, Ibn Battuta (w. 779H/1377M).
Kota ini sejak dahulu hingga kini terkenal sebagai pusat pengajian hadis, kerana ia merupakan pelabuhan lama dan sebagai pintu kepada laut Mediterranean dan Laut Atlantik.
Keluarga al-Kettani pula adalah keluarga muhaddis-muhaddis yang berasal dari Fes. Keturunan mereka sampai kepada Rasulullah SAW melalui jalur al-Hassani.
Dalam kalangan mereka ada beberapa ulama besar seperti al-Sharif Muhammad bin Ja’far al-Kettani (w. 1345H/1927M) yang mengarang kitab Salwatu al-Anfas. Ia tentang sejarah ulama dan para wali yang wafat dan dikuburkan di Fes. Juga al-Muhaddis Abdul Hayy al-Kettani (w. 1382H/1962M) yang mengarang berpuluh kitab sejarah dan hadis.
Selain itu, Maghribi juga adalah satu-satunya pewaris budaya dan ilmu Andalusia, setelah reconquista. Majoriti ulama Andalusia telah lari pulang ke Fes, Tangier, Sala, Marakesh ketika Andalusia dijajah oleh tentera salib Sepanyol. Maka ilmu dan budaya Andalusia juga dibawa bersama dan bersemadi dengan budaya Maghribi yang ada pada saat ini.
Oleh itu, tidak ada tempat yang paling berhak menggambarkan budaya dan keilmuan Andalusia selain Maghribi. Lebih-lebih lagi, ia juga menjadi pusat tersimpannya berjuta manuskrip yang ditulis oleh ulama Islam sejak berkurun lamanya. Ia sama ada ilmu Islam mahupun sains dan teknologi, seperti matematik, fizik, kimia dan lain-lain.
- Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama UIAM & Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)










