Lebih 200,000 berkunjung ke Bukit Kambing - Utusan Malaysia

Lebih 200,000 berkunjung ke Bukit Kambing

AWAN bagaikan permaidani terbentang di Bukit Sunrise sewaktu matahari terbit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pemandangan indah ketika matahari terbit dan hamparan lautan awan karpet yang begitu mengasyikkan di awal pagi menjadi daya tarikan kepada orang ramai untuk mengunjungi Bukit Kambing atau kini dikenali sebagai ‘Bukit Sunrise’.

Mula dikenali sejak tiga tahun lalu, Bukit Sunrise yang terletak di Sungai Lembing, Pahang menjadi antara tarikan pelancong ke situ selain Air Terjun Pelangi, Bukit Panorama dan Gunung Tapis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd.
Sharkar Shamsudin berkata, dengan wujudnya Bukit Sunrise, keunikan di situ menghidupkan dan menceriakan Sungai Lembing iaitu pekan kecil yang pernah gemilang sekitar tahun 1800 dahulu.

Membuktikan perkara itu katanya, rekod kehadiran pelancong ke Bukit Kambing tahun lalu mencatatkan lebih 200,000 orang.

MOHD. Sharkar bersama pengunjung bergambar dengan Jalur Gemilang.

“Kehadiran pelancong bagaimanapun sedikit terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

“Namun selepas PKP, Bukit Kambing kembali dipenuhi oleh mereka (pengunjung) setiap pagi antara pukul 7 pagi hingga pukul 10 pagi terutamanya pada hujung minggu,” katanya.

Beliau berkata selepas menyaksikan kehijauan hutan dan keindahan awan karpet yang terbentang luas semasa lawatan di Bukit Sunrise, baru-baru ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin, Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Idros Yahya.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, pengunjung hanya boleh menaiki kenderaan pacuan empat roda (4×4) untuk sampai ke puncak Bukit Kambing yang mengambil masa perjalanan sekitar 20 minit.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak bercadang menambahbaik keadaan jalan di kawasan itu bagi mengekalkannya sebagai daya tarikan unik yang berbentuk ‘cabaran’ kepada pengunjung.

“Lagi pun kalau kita turap jalan ke Bukit Sunrise, ia boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan maka, kehadiran mereka akan jadi tidak terkawal.

“Bila mereka bebas datang ke bukit ini, mereka berkemungkinan ke tempat yang tak sepatutnya mereka pergi kecuali ditemani oleh orang tempatan atau pengusaha pelancongan di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN