Azmi mengharapkan Tulus - Utusan Malaysia

Azmi mengharapkan Tulus

AZMI Saat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMPUNYAI minat yang mendalam dalam bidang muzik sejak dari kecil, bakatnya tidak sekadar terbatas sebagai penyanyi. Mengambil peluang untuk turut mencipta lagu, namun tiada keyakinan diri menyebabkan dia lebih senang memendam kelebihan yang dimiliki. Mengambil masa sehingga 12 tahun untuk mengeluarkan lagu pertama ciptaannya kini berjudul Tulus.

Kongsi penyanyi utama kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat, bukan soal lambat atau cepat yang menjadi persoalan. Namun bagaimana lagu ini kelak diharap menjadi percaturan baharu buat dirinya untuk bergelar seorang komposer suatu hari nanti.

“Tulus dicipta sekitar awal tahun 2008 semasa menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahn Malaysia (STPM). Tetapi tiada ruang dan keyakinan untuk kongsikan lagu ini membuatkan saya simpan sahaja.

“Sewaktu itu hanya mempelajari teknik rakaman audio dengan menggunakan komputer melalui kawan-kawannya. Dari lirik, melodi, susunan muzik dan rakaman semuanya lakukan sendiri. Tulus memang menjadi lagu pertama yang disiapkan saya sepenuhnya.

“Pada awal tahun ini saya telah dilamar oleh Valient Music sebagai artis rakaman. Kali ini mereka yakinkan saya untuk cipta lagu selain mendalami sendiri selok-belok produksi muzik.
“Jadi saya cuba nasib dengan memperdengarkan lagu ciptaan saya ini, dan mereka langsung bersetuju untuk menerbitkan lagu ini,” katanya gembira.

Berkongsi mengenai Tulus, kata Azmi, lagu ini berkisar mengenai kisah cintanya dengan kekasihnya yang kini isterinya. Mahu mewujudkan elemen baharu dalam lagunya ini dia juga turut bekerjasama dengan Ezra Kong bagi menerbitkan lagu tersebut.

“Isteri saya memang tahu mengenai lagu ini sebab dia sendiri sudah mendengarnya. Jadi kalau kata ini lagu kejutan untuk dia, tidaklah. Lagu ini menyatakan rasa kasih saya kepada dirinya.

“Memandangkan lagu ini sudah lama disiapkan jadi ada beberapa perubahan yang dilakukan dalam memastikan lagu ini kekal relevan. Sebab itu saya bersyukur dapat bekerjasama dengan Ezra Kong untuk menyiapkan lagu ini,” katanya.

Berharap agar percubaan pertamanya ini mendapat tempat di hati pendengar. Jelas Azmi, dia tidak teragak-agak untuk meneruskan kerjaya sebagai komposer suatu hari nanti jika apa yang dimulakan ini diterima dengan baik.

“Memang Tulus dilihat sebagai percubaan pertama saya untuk menempatkan diri sebagai komposer. Memulakan kerjaya sebagai penyanyi memang saya menyimpan impian untuk berada pada tahap yang berbeza suatu hari nanti sebagai seorang komposer.

“Ikutkan memang berdebar-debar menunggu maklum balas pendengar, sebab itu saya harapkan yang terbaik untuk lagu ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Tulus diterbitkan oleh Universal Music Malaysia & Valient Music. Lagu ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox, iTunes, YouTube dan juga YouTube Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×