USIANYA baru sahaja 13 tahun, tetapi sudah begitu nekad untuk mempertaruhkan masa dan bakat yang ada demi mengejar impian sebagai seorang anak seni.
Bukan suka-suka, tetapi Nasrul Ikhwan sedari awal sudah memasang perancangan yang teliti bagi memastikan perjalanannya dalam industri tidak terhenti sia-sia.
Lahir daripada program realiti Bintang Kecil RTM pada 2018, Nasrul mengaku bukan mudah untuk menerobos masuk ke dalam bidang seni apa lagi sebagai artis baharu, persaingan itu sentiasa ada.
“Banyak persaingan menyebabkan seseorang artis itu tidak seharusnya leka dalam zon selesa.
“Tetapi, saya percaya setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Rezeki itu juga datang dari-Nya.
“Insya-Allah, saya akan cuba bersaing dengan cara sihat berbekalkan kemampuan anugerah Tuhan ini,”katanya.
Menurut penyanyi ini, dia juga bersyukur kerana syarikat pengurusannya, Beegood Music menjadi tulang belakang utamanya dalam menguruskan kerjaya seni sementelah dia juga masih terlalu muda dalam industri.
Bahkan, dengan kemunculan single Merana, dia yakin dapat meraih perhatian pendengar sekali gus sebagai tanda pengenalan buat peminat muzik genre balada rock.
“Saya tak mahu sia-siakan bakat nyanyian yang dimiliki. Sebab itulah saya mahu meraih segala peluang yang ada untuk memastikan impian tercapai.
“Dalam masa sama, tak salah pun jika saya sebagai seorang pelajar sekolah menjana pendapatan dengan cara ini. Asalkan pandai membahagi masa antara pelajaran dan dunia seni,”katanya.
Program realiti
Dalam pada itu, Nasrul tidak menolak sekiranya punya peluang dan rezeki untuk bersaing di pentas besar seperti Big Stage dan sebagainya.
Bagi remaja ini, dia melihat pertandingan di pentas besar juga mampu melonjakkan nama seseorang artis baharu sementelah platform itu sedang begitu `in’ pada zaman ini.
“Nak juga cuba nasib. Bukan itu sahaja, saya juga mensasarkan pada masa akan datang untuk menambah nilai profil kerjaya sebagai seorang komposer.
“Pendek kata, saya mahu mencipta kejayaan dalam bidang ini. Saya nak orang dengar dan faham akan lagu yang disampaikan kerana itu juga adalah sebahagian daripada cerita perjalanan seni,” katanya. – Mingguan Malaysia










