
SEANDAINYA Malaysia direpresentasi melalui seni lukisan di atas sehelai kain, batik barangkali yang paling unggul mencerminkan jati diri kita.
Persoalannya, mengapa seni dan industri ini seakan terabai?
APA ITU BATIK?
Mendapatkan perspektif mengenai seni halus yang serba indah ini, Mingguan Malaysia berbual dengan pemilik dan pengusaha batik, Anis Shahrizahin Ghazi.
Terkenal sebagai antara perintis batik fusion dan moden, Anis yang memiliki perniagaan berasas batik iaitu Seven Essence Batik Canting di Kelantan berkata, batik ialah seni melukis di atas kain, yang menerapkan ciri abstrak bermotifkan alam.
“Sejak kurun ke-15, warga Nusantara telah menemui kaedah pembuatan batik. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang dan ubian lain sebagai alat pengecap.
“Dari situ, cabang seni halus yang indah dan penuh warna-warni ini berkembang, dan mencapai status epik di Nusantara khususnya Indonesia dan tanah Melayu,” katanya.
SEJARAH BATIK TANAH AIR
Memugar sejarahnya, beliau berkata sekitar 1910, batik mula diperkenalkan di tanah air khususnya di Kelantan.
“Batik berasal dari Indonesia, namun bukanlah bermakna ia eksklusif untuk negara Garuda itu. Ini kerana, dahulu mana ada istilah negara bangsa, kerana kita di Nusantara ini semuanya serumpun.
“Dari Indonesia, batik terbit dari perkataan Jawa ‘tik’. Ia bermaksud, menitik atau menulis titik-titik,” katanya.
Pada masa sama, dia berkata, terdapat sejenis batik di tanah Melayu yang dahulunya cukup sohor.
“Kalau tak silap, ia digelar Batik Pelangi, diperkenalkan sejak 1770-an lagi di tanah Melayu,” jelasnya.
MOTIF BATIK
Katanya, pencanting batik sejak dahulu terkenal sebagai individu penuh seni yang rapat dengan alam semulajadi.
“Ini jelas dilihat melalui motif pembuatan batik, yang bermaksud corak yang digunakan sewaktu mencanting.
“Lazimnya, ada dua motif utama iaitu organik dan geometrik. Motif organik berunsurkan alam semulajadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan dan haiwan manakala geometrik pula lebih abstrak,” tuturnya.
Antara motif organik yang popular bagi batik Malaysia, katanya, termasuk bunga buluh, orkid, daun sireh, pucuk rebung dan rama-rama.
PROSES MENCANTING
Katanya, terdapat beberapa proses sebelum satu-satu batik dihasilkan. Paling utama menyediakan peralatan yang betul.
“Antara alatan mencanting termasuk blok penerap, campuran lilin, kain, pencelup dan meja mencanting.
“Kainnya pula, kalau di Indonesia mereka lebih popularkan batik berkain kapas tapi kita lebih ketengahkan kain sutera, crepe dan satin. Namun, kita turut gunakan kain kapas,” katanya.
BATIK FUSION BERI NAFAS BAHARU LEBIH SEGAR
Menjelaskan bahawa industri ini wajar diketengahkan di persada global, Anis mengambil langkah berani menghasilkan pakaian moden menggunakan kain batik.
“Semuanya bermula sekitar 2018, apabila saya berpeluang menyertai pertunjukan fesyen di Kuala Lumpur. Majlis itu dihadiri ramai VVIP, termasuk para artis, tokoh dalam agensi kerajaan malah delegasi luar negara.
“Peluang itu saya gunakan untuk menghasilkan pakaian moden bermotifkan batik. Ini termasuk cheong sam, gaun, kot, palazo dan pario,” katanya.
Jelasnya, majlis itu mendapat sambutan hangat, dan batiknya mula mendapat perhatian delegasi luar negara terutama dari Korea.
HARAPAN
Katanya, untuk memastikan seni batik kekal relevan, semua pihak perlu terapkan rasa cinta tidak berbelah bahagi.
“Di era globalisasi, sempadan satu-satu negara semakin nipis membuatkan elemen luar sangat mudah masuk dan meracuni minda dan selera rakyat. Dalam konteks batik, kita kini terpaksa bersaing dengan kain-kain murah dari China dan Vietnam.
“Kesannya, batik yang dahulu pernah menempa nama pada era 90-an, kini merudum kembali dek tidak mampu bersaing dengan produk-produk luar yang jauh lebih murah.
“Dari hal itu, kita semua, baik kerajaan mahupun rakyat harus semai kembali rasa cinta terhadap seni kraftangan Nusantara ini,” katanya mengakhiri perbualan.











