Terima kasih Eddie Van Halen... - Utusan Malaysia

Terima kasih Eddie Van Halen…

Eddie Van Halen menampilkan aksi mantap dalam satu persembahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERITA pemergian legenda muzik ini Selasa lalu cukup menggemparkan industri hiburan khususnya peminat rock. Mendiang dianggap ‘dewa’ muzik rock yang tidak akan mampu diganti oleh sesiapa.

Pada usia 65 tahun, Eddie Van Halen menghembuskan nafas terakhirnya. Selepas hampir dua dekad bertarung kanser, dia pergi meninggalkan kita semua buat selama-lamanya.

Mungkin namanya agak asing di halwa telinga generasi muda, namun legenda rock ini telah menghibur malah ‘membentuk’ kehidupan peminat menerusi barisan lagu puitis penuh nostalgia.

Mengimbas detik pertama penglibatan ikon muzik ini dalam dunia seni, anak kelahiran Amsterdam ini berpindah ke Los Angeles, Amerika Syaikat (AS) sekitar 1960-an bersama keluarga untuk mencari kehidupan lebih baik.

Pelajar jurusan piano klasik ini menukar rentak muziknya kepada gitar. Maka bermulalah sejarah penubuhan kumpulan Van Halen bersama abangnya, Alex (dram), Roth (vokal) dan Micheal Anthony (bass).

Menggegarkan dunia muzik rock dengan kehebatan aksi dan kepakaran bermain gitar, nama Eddie dan kumpulannya terus memuncak dan mendapat sambutan luar biasa sehingga terlahirlah album pertama mereka, Van Halen pada tahun 1978.

Membariskan 11 lagu antaranya Runnin’ with the Devil, Eruption dan You Really Got Me, album itu berjaya menduduki carta Billboard 200 di tangga 19 dan telah terjual lebih 10 juta salinan di AS.

Tidak terhenti setakat itu, Van Halen terus menguasai dunia muzik rock dengan 10 album pecah panggung antaranya Van Halen II, Women and Children First, Fair Warning dan Diver Down.

Album terakhir kumpulan legenda ini, A Different Kind of Truth dilancarkan pada tahun 2012 selepas 14 tahun menyepi. Pastinya, penantian dan kerinduan peminat terbalas dengan album yang membariskan 17 lagu itu.

Eddie yang cukup terkenal dengan teknik two-handed tapping , gitaris itu berjaya menempatkan namanya sebaris dengan legenda gitar lain seperti Jimi Hendrix, Eric Clapton dan Jimmy Page.

Malah, peminatnya turut ‘menghadiahkan’ gelaran pemain gitar sepanjang zaman menerusi undian dalam majalah Guitar World. Itu antara penghargaan hebat yang diterima mendiang selepas lebih 34 tahun dalam dunia seni.

Malah, mendiang turut menerima penghargaan terhebat sepanjang zaman apabila namanya dipahatkan di Rock and Roll Hall of Fame sebagai tanda pencapaian dan kehebatannya dalam dunia muzik.

Pernah menggenggam, trofi Grammy dalam kategori Persembahan Terbaik Hard Rock (bersama vokal) pada tahun 1992 menerusi album For Unlawful Carnal Knowledge, Van Halen berjaya menempatkan nama sebagai antara kumpulan rock teragung sepanjang zaman.

Dia bapa terbaik

Selayaknya digelar pemuzik terbaik dunia, pemergian insan seni ini merupakan satu kehilangan besar dalam dunia seni. Legenda yang penuh karisma dan jiwa ini meninggalkan semua dengan gentayanan memori indah yang tidak mungkin terpadam.

Menerusi ciapan di Twitter, anaknya, Wolf yang juga seorang gitaris dengan berat hati mengumumkan pemergian ayah tercinta yang pasti sukar untuk diterjemah dengan kata-kata.

“Saya tak percaya akan menulis ini, namun ayah saya, Edward Ldewijk Van Halen tewas dalam pertempuran bertahun lamanya dengan kanser pagi ini,” umum Wolf.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya