ANAK syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) menubuhkan Rumah Ngaji MB Inc. di Tapak Warisan Kapal Korek No. 5 Tanjung Tualang (TT5) dekat Batu Gajah. Ia bagi memberi pendedahan kepada komuniti tempatan memantapkan kekuatan rohani selain mewujudkan masyarakat baca, faham dan amal al-Quran.
Penubuhan Rumah Ngaji itu unik kerana ia terletak di kawasan kapal korek terakhir yang masih ada di negara ini. Rumah Ngaji itu yang dirasmikan pembukaannya baru-baru ini adalah yang pertama seumpamanya dibuka dan dibangunkan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin berkata, penubuhannya bertepatan dengan hasrat pihaknya membantu komuniti setempat dalam membudayakan ilmu dan aspek kerohanian dengan memahami dan mengamalkan ajaran murni Islam yang terdapat dalam al-Quran.
“Pemilihan Tapak Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) sebagai lokasi Rumah Ngaji MB Inc. juga adalah sebagai penghargaan pihak syarikat kepada masyarakat setempat terutamanya penduduk Tanjung Tualang yang telah banyak membantu dan menyokong pembangunan dan pengurusan MB Inc. di kawasan ini,” katanya.
Penubuhan Rumah Ngaji MB Inc.@TT5 ini adalah hasil kerjasama strategik Rumah Ngaji Perak dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), sebuah organisasi tanpa keuntungan dalam usaha mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran.

Semua kelas mengaji dan program ilmu yang dilaksanakan ditanggung dan dibiayai oleh MB Inc. dengan semua kelas adalah percuma kepada komuniti di sekitar Tanjung Tualang.
Kumpulan sasar adalah mereka yang berumur dari enam hingga 90 tahun yang ingin membaca dan memahami asas al-Quran.
“Tenaga pengajar pula adalah yang bertauliah terdiri daripada penduduk tempatan yang telah mendapat pensijilan mengikut modul yang ditetapkan oleh Rumah Ngaji,” katanya.
Dapat sambutan baik

Menurut Anuar Zainal Abidin , sejak dibuka, Rumah Ngaji itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang hadir untuk belajar mengaji.
Beliau berkata, sesi pertama yang diadakan September lepas dihadiri lebih 30 orang, melebihi sasaran yang ditetapkan.
“Setiap sesi turut dihadiri oleh para pegawai MB Inc. Dengan cara ini kami dapat berkomunikasi dengan penduduk setempat, bertepatan dengan matlamat kita untuk merapatkan hubungan dengan komuniti di sini,” katanya.
Menurut Anuar, penubuhan Rumah Ngaji di TT5 juga memberi peluang kepada penduduk di luar bandar raya Ipoh menyertai aktiviti yang dilaksanakan oleh anak syarikat kerajaan negeri.
Beliau berkata, ini kerana lazimnya aktiviti lebih tertumpu di bandar raya Ipoh.
“MB Inc. berharap penubuhan Rumah Ngaji MB Inc. @ TT5 ini, akan mendekatkan kapal korek kepada orang ramai yang ingin tahu industri perlombongan bijih timah yang sesuatu ketika dulu membawa hasil ekonomi yang lumayan ke negeri Perak.
“Dalam masa sama, MB Inc. sedang merangka pelbagai tarikan baharu di kawasan TT5 untuk menarik kunjungan pelancong,” katanya.
Untuk rekod, TT5 merupakan menjadi warisan sejarah Perak dan digelar The Last Dredge atau warisan kapal korek terakhir yang masih wujud dalam negara.
Ia dalam proses pemuliharaan semula dan ditambah baik dengan pelbagai kemudahan bagi menjadikannya kawasan antara kawasan tarikan pelancongan sejarah di Perak dalam sektor perlombongan.
MB Inc. dipertanggungjawabkan memulihara semula kawasan bersejarah itu supaya ia terus menjadi ingatan dan warisan kebanggaan Perak sebagai pengeluar utama bijih timah dunia satu ketika dulu.










