Elak guna pelega dua kali seminggu - Utusan Malaysia

Elak guna pelega dua kali seminggu

Dr. JEMILAH Mahmood berkongsi pengalamannya tentang penyakit asma dalam Kempen Kawal Lelah Sebelum Parah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penggunaan pelega lebih dua seminggu bagi pesakit asma, mengundang serangan lebih buruk malah dalam keadaan tertentu boleh meningkatkan risiko serangan berulang.

Perunding Pakar Respiratori, Dr. Helmy Haja Mydin berkata, penggunaan berlebihan pelega menyebabkan keradangan saluran pernafasan berlaku dengan lebih teruk.

Kebergantungan berlebihan kepada pelega ataupun alat sedut pelega akan meningkatkan kadar morbiditi dan kematian.

“Pesakit yang menggunakan alat sedut pelega lebih daripada dua kali seminggu dianggap sebagai mempunyai kawalan asma yang kurang baik dan ini akan meningkatkan risiko serangan asma yang teruk,” katanya dalam Kempen Kawal Lelah Sebelum Parah di ibu negara baru-baru ini.

Organisasi garis panduan perubatan untuk asma, The Global Initiative for Asthma (GINA) turut tidak mengesyorkan penggunaan pelega Short-Acting Beta2-Agonist (SABA) berlebihan untuk melegakan simptom asma.

Penemuan baharu dalam pengurusan asma sejak 30 tahun lalu itu menunjukkan penggunaan pelega tanpa rawatan ubat kawalan untuk merawat keradangan dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan asma, kemasukan ke hospital dan kematian berkaitan asma, akibat kerandangan saluran pernafasan teruk.

Dr. Helmy yang juga Pengasas Bersama Asthma Malaysia, berkata pemahaman terhadap alat sedut pengawal sebagai rawatan keradangan adalah amat penting.

“Jika pesakit hanya menggunakan alat sedut pelega, keadaannya akan berpanjangan dengan risiko komplikasi,” katanya.

Menangani situasi ini, pesakit perlu berjumpa doktor dan mendapatkan nasihat yang sewajarnya. Jelas beliau, walaupun tiada penawar asma merupakan sesuatu keadaan yang boleh dikawal.

“Kawalan asma yang baik dikenalpasti dengan pengurusan simptom yang baik. Ini termasuk penggunaan alat sedut pelega tidak melebihi dua kali seminggu, tidak mempunyai simptom asma pada waktu malam dan tiada batasan untuk tahap aktiviti normal,” katanya.

Dengan adanya panduan baru ini, kata Dr. Helmy, amat penting bagi masyarakat untuk memperkasa pesakit asma dengan pengetahuan ini agar mereka dapat mengawal dan mengurus keadaan dengan lebih baik.

Namun begitu, disebabkan ketidakpatuhan dan penggunaan rawatan secara tidak betul, hanya enam peratus pesakit mempunyai kawalan asma yang baik.

Ini merupakan kali pertama GINA menyarankan penggunaan bersama ubat pelega dan ubat pengawal dalam rawatan simptom asma. Ia bukan sahaja membantu pesakit berasa lega, malah mula merawat keradangan di peringkat awal.

Di Malaysia, terdapat dua juta pesakit asma dan penyakit respiratori ini adalah punca kematian kedua tertinggi di hospital kerajaan. Malangnya, satu kajian tempatan Assessing Asthma Control Level in Primary Care (ASCOPE) mendapati kurang 50 peratus pesakit asma mempunyai kawalan yang baik terhadap penyakit itu.

Kajian juga mendapati rawatan ini mengurangkan dua pertiga risiko serangan asma yang teruk, berbanding rawatan pelega sahaja. Bagi menyuntik kesedaran dalam kalangan orang ramai, Asthma Malaysia bekerjasama dengan beberapa organisasi profesional dan entiti swasta untuk mendidik orang ramai dan pengamal profesional penjagaan kesihatan tentang kepentingan memutuskan rantaian penggunaan SABA secara berlebihan.

Ia selaras dengan Hari Paru-Paru Sedunia 2020 dan situasi pandemik Covid-19 dalam memperkasa pesakit menggenai kaedah terbaik dalam kawalan asma.

Kempen dirasmikan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.

Turut hadir Pengasas Bersama Asthma Malaysia yang juga Presiden AstraZeneca Malaysia, Dr. Sanjeev Panchal.

Kempen ini melibatkan pelbagai pertubuhan profesional perubatan seperti Pertubuhan Torasik Malaysia (MTS), Persatuan Pakar Perubatan Keluarga (FMSA), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan sektor swasta di mana mempunyai matlamat sama iaitu meningkatkan kualiti hidup pesakit asma.

Selain kempen kesedaran “Kawal Lelah Sebelum Parah”, AstraZeneca Malaysia juga turut memberi sokongan kepada usaha lain dalam meningkatkan pengurusan asma.

Ini termasuk meningkatkan kemampuan profesional penjagaan kesihatan melalui siri webinar yang berterusan dan modul e-pembelajaran yang dikenali sebagai program Primary Asthma Care Excellence (PACE). Selain itu, risalah pendidikan mengenai penyakit asma terkini juga disediakan dan diberi kepada pesakit asma melalui program Breathe EaSY.

Sementara itu, Dr. Jemilah turut berkongsi mengenai pengalamannya mempunyai asma pada zaman kanak-kanak.

Situasi berkenaan lebih teruk apabila beliau membesar dengan dikelilingi perokok menyebabkan dirinya turut antiperokok. Namun beliau bernasib baik mendapat nasihat doktor.

Kawalan yang betul membolehkannya hidup sihat termasuk melakukan gaya hidup dengan baik.

“Saya boleh bersenam, berbasikal. Ini menunjukkan asma bukanlah terlalu teruk kalau kita memiliki pengurusan asma yang baik.

“Ini sangat penting untuk kita ambil maklum memandangkan bagi penggunaan alat sedut pelega misalnya, pesakit tidak seharusnya bergantung terus kepada alat itu tanpa mendapatkan rawatan setiap kali diserang asma.

“Lebih-lebih lagi jika penggunaan melebihi dua kali dalam seminggu, usaha menjalani ujian lanjut berhubung tahap asma mereka perlu dibuat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya