Berekeh bukan sebarang bukit - Utusan Malaysia

Berekeh bukan sebarang bukit

Para pendaki bergambar di puncak Bukit Berekeh, Sungai Siput, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“RAMAI betul pagi ni”. Itu antara ayat pertama yang keluar daripada mulut salah seorang teman sejurus tiba di hadapan Masjid Kampung Bawong, Sungai Siput, Perak seawal pukul 4 pagi bagi misi pendakian Bukit Berekeh.

Ketika itu, kira-kira hampir 60 pendaki bersiap-sedia pagi itu termasuk 16 orang daripada kami yang terdiri kakitangan Kosmo! dan Utusan Malaysia.

Dengan berbekalkan headlamp dan peralatan serta barang keperluan lain, pendakian dimulakan kira-kira pukul 4 pagi.

Misi pendakian kali ini tidak sukar sebagaimana gunung lain. Pendakian ke Bukit Berekeh atau dikenali Bukit Botak ini kebiasaannya mengambil masa kira-kira sejam 20 minit untuk sampai ke puncak.

Tempoh tersebut adalah purata had masa bagi pendaki amatur seperti kami yang rata-rata semakin dimamah usia.

Akan tetapi, bagi yang cuba memandang ringan dengan ketinggian bukit ini, sila fikir berkali-kali lebih-lebih lagi kalau stamina anda bagai ‘kereta lama’.

Perlu diingat walaupun tahap pendakian tidaklah sesukar mana, trek yang agak curam membuatkan lutut sedia longgar bagaikan mahu tercabut.

Dalam pada itu, pendakian kami pada pagi itu bermula di tempat permulaan yang terletak berhampiran ladang kelapa sawit.

Sebenarnya ada dua tempat permulaan di Bukit Berekeh. Selain ladang kelapa sawit, pendaki boleh memulakan pendakian berdekatan masjid.

Namun, saya tidak pasti bagaimana keadaan laluan di situ. Satu perkara yang perlu diingat, adalah sangat penting menggunakan kasut sesuai kerana permukaan berbatu dan berpasir.

Ini kerana risiko terjatuh adalah sangat tinggi tidak kira sama ada ketika cuaca kering mahupun basah.

Untuk mendapatkan pemandangan yang cantik ketika matahari terbit pula, pendaki perlu memulakan pendakian seawal pagi.

Jika bernasib baik, pendaki juga boleh melihat pemandangan awan ‘karpet’. Dan saya pasti inilah sebenarnya yang paling ditunggu -tunggu, lebih-lebih lagi kepada yang mahu memuat naik di halaman media sosial masing-masing.

 

ANTARA 14 pendaki yang terdiri daripada kakitangan Kosmo! dan Utusan Malaysia di Bukit Berekeh.

AIR terjun Lata Penyel yang menyegarkan.

 

Lata Penyel

Selain mendaki, ada satu lagi tempat yang anda perlu kunjungi iaitu kawasan perkelahan Lata Penyel yang terletak di perkampungan orang asli Pos Yum.

Jarak ke lata ini lebih kurang 60 kilometer (km) dari pekan Sungai Siput dan kedudukan Pos Yum terletak di tanah tinggi Banjaran Titiwangsa.
Ada beberapa sebab kenapa anda wajib ke sini selain daripada terapi untuk menghilangkan kepenatan.

Yang pertama sudah tentu kecantikan air terjunnya dan yang kedua aktiviti abseiling di kawasan berkenaan.

Tidak perlu saya perinci segalanya dalam kisah ini. Ada baiknya anda tetapkan masa dan pergi sahaja ke sana. Rasai sendiri pengalaman berharga.

Sementara itu, penyelaras aktiviti kami, Mustapa Lakawa berkata, program pendakian itu merupakan alternatif syarikat dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan kakitangan.

“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana secara tidak langsung meningkatkan produktiviti kakitangan dengan mengamalkan cara hidup sihat,” katanya.

Bagi salah seorang peserta, Zubaidah Ibrahim mengakui pendakian kali ini amat bermakna sekaligus melepaskan rindu selepas lapan bulan tidak mendaki disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN