oleh Hairul Nizam Mat Husain
Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) iaitu Asha’irah dan Maturidiyyah adalah mazhab yang jelas dalam semua bab ilmu tauhid.
Namun yang paling banyak dipertikaikan oleh mereka yang tidak memahami mazhab ini adalah topik yang berada di dalam tajuk: Beriman Kepada Allah.
Topik ini berkait dengan apa yang disebut sebagai al-Sifat al-Khobariyyah iaitu ayat-ayat al-Quran dan hadis yang secara literalnya menunjukkan bahawa Allah seperti makhluk.
Perbalahan berlaku disebabkan wujudnya sebahagian lafaz yang ada dalam al-Quran yang dinisbahkan oleh Allah kepada diri-Nya sendiri.
Lalu ada pihak mahu mengisbatkan lafaz-lafaz ini kepada Allah berdasarkan makna secara bahasa yang akan membawa kepada menyamakan Allah SWT dengan makhluk-makhluk-Nya.
Ada pun orang yang bersama dengan kebenaran, mereka berpandangan lafaz-lafaz itu tidak boleh difahami dengan makna secara bahasa. Ini kerana lafaz-lafaz ini adalah termasuk dalam kategori mutasyabih.
Mereka berpandangan sifat-sifat ini yang juga dinamakan al-Sifat al-Khobariyyah sebenarnya tidak boleh dinisbahkan kepada Allah dari sudut akal sekalipun ia telah dinisbahkan kepada Allah dari sudut teks al-Quran dan al-Sunnah.
Maka cara mereka memurnikan dua sudut ini adalah dengan menyatakan bahawa lafaz-lafaz yang telah disandarkan kepada Allah itu adalah diterima dan dibaca sebagaimana yang telah diwahyukan oleh Allah.
Namun lafaz-lafaz tersebut tidak boleh difahami maknanya berdasarkan makna secara bahasa. Sebabnya, makna secara bahasa akan bercanggah dengan prinsip mensucikan Allah SWT daripada menyerupai sebarang makhluk-Nya.
Inilah yang dipegang oleh golongan awal ASWJ yang akhirnya mereka dikenali dengan gelaran Asha’irah.
Ada pun golongan ASWJ yang terkemudian, mereka berpegang dengan cara takwil iaitu mencari makna di sebalik lafaz-lafaz tersebut.
Cara ini dipelopori setelah mendapati ada individu yang akhirnya terpengaruh dengan pemikiran bahawa Allah sebenarnya berjasad setelah dia mengisbatkan lafaz-lafaz tersebut kepada Allah.
Maka jelaslah golongan awal dan golongan yang terkemudian dalam kumpulan ASWJ bersependapat untuk membaca ayat-ayat tersebut dan mengakuinya bahawa ia adalah firman Allah.
Mereka juga sepakat untuk tidak memahami ayat-ayat tersebut berdasarkan makna secara bahasa yang akan membawa kepada menyamakan Allah dengan sifat makhluk-makhluk-Nya.
Namun golongan terkemudian telah menambah pembawakan mereka dengan mengatakan: “Lafaz-lafaz tersebut tidak boleh difahami melainkan dengan makna yang layak bagi Allah”.
Seolah-olah mereka ingin menyatakan kepada orang yang berdebat dengan mereka: “Apabila kamu tetap berkeras untuk berbicara tentang makna bagi lafaz-lafaz tersebut, maka ucapkanlah apa sahaja makna melainkan makna yang mengurangkan keagungan Allah dan membawa kepada menyamakan Allah dengan makhluk-makhluk-Nya”.
Sebagai contoh, mereka berkata kepada orang yang berdebat dengan mereka: “Mata Allah bermaksud penjagaan-Nya dan keprihatinan-Nya sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Taha ayat ke-39:
Supaya anda [wahai Nabi Musa] dibuat atas Mata-Ku. Namun jangan sama sekali kamu berkata: Sesungguhnya ‘mata’ itu adalah anggota tubuh badan.
Justeru kita boleh mengatakan pendekatan golongan Salaf (golongan awal Ahlus Sunnah) adalah pendekatan untuk dijadikan sebagai pegangan akidah manakala pendekatan golongan Khalaf (golongan Ahlus Sunnah yang terkemudian) adalah untuk tujuan perdebatan.
Inilah pembawakan Ahlus Sunnah dalam menghadapi lafaz-lafaz yang jika difahami berdasarkan makna bahasa akan membawa kepada menyamakan Allah dengan makhluk-Nya secara pasti.
Al-Hafiz al-Iroqiyy semasa menghuraikan maksud Wajah Allah: “Sudah berulang kali sebutan tentang wajah Allah SWT di dalam al-Kitab dan al-Sunnah.
Orang ramai (iaitu mereka yang bersama dengan kebenaran) dalam memahami ayat ini mempunyai dua pendekatan yang masyhur.
“Pertama: Membaca ayat ini semata-mata sebagaimana ia diwahyukan tanpa membincangkan bagaimanakah (maksud Wajah Allah).
Maka kita beriman dengan ayat ini dan kita menyerahkan pengetahuan terhadap maknanya kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui akan maknanya.
Dalam masa yang sama kita berkeyakinan bahawa tidak ada sesuatu pun yang seperti Allah dan (kita berkeyakinan penuh bahawa) sesungguhnya sifat-sifat
Allah tidak menyamai sifat-sifat makhluk.
“Kedua: Mentakwilkan Wajah Allah dengan makna yang layak bagi Zat-Nya Yang Mulia. Maka maksud Wajah [Allah] adalah kewujudan [Allah]”.
Tulisan asal bekas Mufti Kerajaan Mesir, Al-Sheikh Prof. Dr. Ali Jum’ah










