Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad
Satu hari ketika Nabi SAW bersama dengan para sahabatnya tiba-tiba didatangi wahyu. Kemudian Nabi SAW mendongak kepalanya ke langit sambil senyum, lalu kami bertanya: apa yang menyebabkan kamu ketawa wahai Rasulullah? Sabda Nabi SAW: diturunkan kepada ku sekejap tadi satu surah. Baginda SAW membaca surah al-Kauthar.
Nabi bertanya adakah kamu tahu apa itu al-Kauthar? Kami menjawab: Allah dan Rasulnya sahaja yang mengetahui. Sabda Nabi SAW: al-kauthar ialah satu sungai dalam syurga, dua tebingnya dari emas, laluan airnya dari permata yaqut, tanahnya lebih wangi daripada Kasturi dan airnya lebih manis daripada madu.
Makna keseluruhan surah al-Kauthar ialah: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak. Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingininya.
Surah al-Kauthar diturunkan di Mekah adalah surah yang ke 15 diturunkan selepas surah al-‘Adiyat dan sebelum surah al-Takathur. Ada juga pendapat ia adalah surah madaniyyah, diturunkan di Hudaibiah.
Susunan dalam al-Quran sebelum surah al-Kauthar ialah surah al-Ma’aun. Kandungannya menjelaskan tentang empat sifat orang kafir dan munafik iaitu; Bakhil, tidak tunai solat, riak dan tidak melakukan kebaikan.
Surah al-kauthar ini pula Allah SWT menjelaskan sifat yang berlawanan dengan sifat orang kafir dan munafik. Sifat tersebut ialah kurniaan kebaikan yang banyak justeru janganlah bersikap bakhil, arahan melakukan solat dengan ikhlas tidak riak dan arahan bersedekah dengan daging korban di mana sikap tersebut berlawanan dengan sifat melarang lakukan kebaikan.
Surah al-Kauthar adalah surah terpendek dalam al-Quran. Dalam tiga ayat tersebut terdapat 10 kalimah sahaja. Namun kandunganya amat besar dan ia dianggap sebagai kesempurnaan dan melengkap makna surah-surah sebelumnya.
Imam al-Razi mengupas kaitan 15 surah sebelum surah al-Kauthar bermula dengan surah al-Duha hingga surah al-Ma’aun. Semua surah tersebut mempunyai tiga perkara sama ada kemuliaan Nabi SAW, kemuliaan umat Nabi SAW, balasan azab kepada orang yang ingkar dan sifat orang kafir atau munafik.
Sebahagian kupasan tersebut adalah seperti berikut:
Dalam surah al-Duha terdapat tiga pujian berkaitan kenabian Muhammad SAW:
1. Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak benci kepadamu,
2. Kesudahanmu lebih baik daripada permulaannya.
3. Tuhanmu akan memberikanmu kejayaan dan kebahagiaan sehingga kamu reda.
Di akhir surah terdapat tiga keadaan Nabi SAW di dunia ini:
1. Bukankah ia mendapati kamu yatim lalu Ia memberikan perlindungan,
2. Didapati kamu mencari jalan yang benar lalu Ia memberikan hidayah,
3. Dia dapati engkau miskin lalu ia memberikan kekayaan.
Dalam surah al-Syarh tiga kemuliaan Nabi SAW dijelaskan:
1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu dadamu wahai Muhammad,
2. Kami telah ringankan bebanmu yang memberati tanggunganmu,
3. Kami telah tinggikan bagimu sebutan namamu.
Dalam surah al-Tin tiga kemuliaan Nabi SAW:
1. Bersumpah dengan Mekah tempat kelahiran Nabi SAW,
2. Menyelamatkan umat Nabi SAW yang beriman daripada neraka,
3. Mendapat pahala yang tidak putus.
Kemuliaan umat Nabi SAW dalam surah al-Bayyinah:
1. Sebaik-baik makhluk,
2. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga ‘Adn,
3. Allah redha kepada mereka.
Kemuliaan dalam surah zalzalah:
1. Bumi menceritakan khabar berita umat Nabi SAW dan menjadi saksi terhadap ketaatan dan ibadat,
2. Melihat amalan ketaatan yang menjadikan mereka gembira,
3. Melihat amal kebaikan walaupun seberat zarah.
Dalam surah al-Takathur dijelaskan tiga kehinaan kepada orang yang ingkar ajaran Islam:
1. Melihat neraka yang apinya marak menjulang,
2. Melihat neraka dengan penglihatan yang yakin,
3. Mereka ditanya dengan seluruh nikmat di dunia ini.
Dalam surah al-‘Asr tiga kemuliaan yang dijelaskan terlepas dari kerugiaan ialah:
1. Keimanan,
2. Beramal soleh,
3. Menunjuk manusia kepada kebenaran dan memberi nasihat kesabaran.
Dalam surah Humazah terdapat tiga jenis azab kepada pencaci dan pengeji:
1. Dunia mereka tidak memberi sedikit pun manfaat,
2. Dihumban ke dalam neraka hutamah,
3. Pintu neraka ditutup rapat sehingga mereka putus asa untuk keluar.
Dalam surah al-Ma’aun disebut tiga sifat terkeji golongan pendusta:
1. Kehinaan kerana menindas dan berlaku zalim kepada anak yatim,
2. Tidak membesarkan Allah dengan meninggalkan solat,
3. Tidak memberi pertolongan kepada yang berhak mendapatkanya.
Selepas penyataan dalam 15 surah bermula dengan surah al-Duha sehingga surah al-Ma’aun berkaitan kemuliaan Nabi Muhammad SAW maka dalam surah al-Kauthar, Allah SWT nyatakan kesempurnaan kelebihan yang dianugerah kepada Nabi SAW. Justeru sewajibnya Nabi SAW lakukan ibadat kepada Tuhan dan memberi panduan terbaik kepada manusia.
Ayat ketiga adalah cerita tentang membenci kepada Nabi SAW dan membenci syariat iaitu hidayah, kebenaran, hujah yang jelas dan cahaya yang terang. Orang yang membenci Nabi SAW itulah sebenarnya orang yang tidak akan mendapat kebaikan di dunia dan juga di akhirat.
Sewajarnyalah umat Nabi SAW melakukan amal kebaikan yang berkait dengan Allah SWT dan melakukan kebaikan sesama manusia dan sayang kepada Nabi SAW. Semoga kebaikan ini menjadi asbab mendapat anugerah
Allah SWT iaitu minum air sungai kauthar di syurga yang tidak lagi dahaga selama-lamanya.
Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM










