Andai Rasulullah SAW masih bersama kita - Utusan Malaysia

Andai Rasulullah SAW masih bersama kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehadiran bulan Rabiulawal menandakan ulang tahun peristiwa penting dalam sejarah peradaban Islam. Ini kerana pada 12 Rabiulawal tahun Gajah, manusia istimewa ini dilahirkan. Baginda membawa gelombang transformasi daripada sebuah masyarakat jahiliah kepada pembentukan sebuah empayar Islam yang digeruni. Risalah kenabian yang dibawa tersebar ke seluruh alam.

Asasnya, Rasulullah SAW diutuskan untuk meneruskan dan meluruskan risalah tauhid, di samping memurnikan akhlak manusia yang bobrok dan melaksanakan tuntutan syariat Islam yang komprehensif.

Usaha ini dapat dilihat dalam usaha dakwah selama 23 tahun ketika baginda diutuskan sebagai utusan Allah. Tempoh 13 tahun pertama diperuntukkan untuk memperteguhkan akidah dan pembinaan akhlak yang mulia bagi membentuk jati diri seorang individu Muslim. Baki 10 tahun di Madinah pula baginda memfokuskan terhadap pelaksanaan syariat dan perundangan sebagai peraturan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Baginda berjaya menghapuskan tradisi jahiliah seperti penyembahan berhala, minum arak, perzinaan, pembunuhan anak perempuan dan pelbagai adat yang buruk. Dalam masa yang sama, baginda berjaya membentuk masyarakat berakhlak, sistem ekonomi yang adil dan pemerintahan yang stabil.

Berlalunya tempoh kerasulan selama 23 tahun, baginda meninggalkan dan mewariskan pusaka yang sangat bernilai iaitu al-Quran dan al-sunah untuk panduan hingga hari kiamat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, (iaitulah) al-Quran dan sunnah Nabi-Nya. (Riwayat Malik)

Sayangnya, warisan yang ditinggalkan oleh Nabi SAW tidak dimanfaatkan oleh orang Islam dengan sebaiknya. Kini kita berhadapan dengan pelbagai krisis moral, sosial, ekonomi dan politik yang bertentangan dengan petunjuk Nabi SAW. Saban hari kita dikejutkan dengan pelbagai isu negatif dalam masyarakat. Tambahan pula, perkembangan teknologi yang pesat dalam era revolusi industri 4.0 kini turut menyumbang kepada krisis digital dalam masyarakat.

Antaranya:

Pertama, tipu daya golongan penipu (scammer) yang mengambil duit mangsa dengan tipu muslihat. Penipuan licik melalui alat komunikasi ini menggunakan pelbagai modus operandi untuk mengabui mata mangsa tanpa mengira usia dan jantina.

Akibatnya mangsa kerugian wang dalam jumlah yang besar melalui transaksi atas talian. Di sebalik wang haram yang terkumpul ini, timbul tindakan penyucian wang dalam pelaburan tertentu.

Kedua, isu pembulian siber yang makin menjadi-jadi. Papan kekunci ditaip dengan pelbagai kata kasar, kesat dan makian tanpa rasa bersalah dan dosa tetapi berselindung di sebalik identiti diri yang palsu dan kabur. Pembulian ini termasuklah penghinaan terhadap tubuh badan seseorang, dan hasut maya (troll) dalam media sosial. Akibatnya mangsa mengalami tekanan perasaan, kemurungan dan boleh mendorong kepada tindakan bunuh diri.

Ketiga, isu pengiklanan negatif yang semakin dipopularkan oleh pengeluar produk dengan tujuan mendapatkan publisiti daripada kontroversi yang tular. Sedangkan matlamat tidak menghalalkan cara. Promosi dan iklan menggunakan pendekatan negatif, lucah malah dengan dakwaan melampau adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan kesantunan Melayu.

Pengik­lanan negatif bukanlah kaedah pemasaran produk yang dapat diterima kerana ia menimbulkan kontroversi dalam masyarakat. Tambahan pada zaman digital, tindakan pemasaran buruk akan mengundang kecaman dari pelbagai pihak walau mendapat perhatian pengguna.

Keempat, isu penyebaran maklumat palsu dan salah ketika situasi politik yang tidak menentu dan semasa pandemik Covid-19. Ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mencipta maklumat palsu, salah dan menyeleweng untuk disebarkan di dunia digital.

Setiap hari ada maklumat palsu dan menyimpang dicipta dan disebarkan untuk mewujudkan panik dan suasana tidak stabil dalam masyarakat. Maklumat ini dengan mudah dikongsi dan disebarkan dalam masyarakat dengan pengaruh tular.

Berdasarkan beberapa isu tersebut, masyarakat semakin parah dan jauh daripada pedoman Rasulullah SAW. Masyarakat hilang model untuk diikuti. Ungkapan cinta Nabi hanya sekadar pemanis di bibir, Hakikatnya hidup tersasar jauh daripada sunah Nabi SAW.

Ramai yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW, tetapi lidah dan tingkah laku tidak selari dengan teladan nabi. Sedangkan perkataan dan perbuatan keji lagi mungkar ini bertentangan dengan larangan Allah SWT sebagaimana ayat berikut: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya. (an-Nahl: 90)

Begitu juga dengan hadis Nabi SAW. Baginda bersabda yang bermaksud: Dari Jabir bin Samurah dia berkata; “Aku berada dalam suatu majlis yang di dalamnya terdapat Nabi SAW Jabir berkata: sementara Abu Samurah duduk di hadapanku, kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya berkata keji atau melakukan perbuatan keji bukanlah dari ajaran Islam dan sesungguhnya sebaik-baik Islamnya seseorang adalah yang paling baik akhlaknya. (Riwayat Ahmad)

Dalam al-Quran dan sunah yang diwariskan kepada kita terdapat 1,001 panduan dalam mengatur kehidupan manusia.

Sempena bulan kelahiran baginda SAW dan manifestasi rasa cinta kita kepada baginda, marilah bersama-sama memperbanyakkan selawat dan berazam mencontohi peribadi baginda dalam kata-kata, tingkah laku dan pergaulan sama ada di dunia nyata mahupun digital. Sebabnya perkara yang harus atau dilarang kekal status hukumnya walau di dunia siber.

  • Dr. Mohd Anuar Ramli, Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam UM. Penulis boleh dihubungi di: [email protected]
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN