fbpx

27 Oktober 2020, 9:05 pm

  TERKINI

Sains tangani pencemaran sungai

Kerja-kerja pemantauan dan pengawasan sungai dijalankan bagi mengesan sebarang pencemaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh LAUPA JUNUS
[email protected]

Isu pencemaran sungai di negara ini ini bukan baharu tetapi kenapakah tiada penyelesaian konkrit bagi menyelesaikan masalah tersebut?

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan Program Pengawasan Kualiti Air Sungai sejak tahun 1978. Bermula tahun 1995, program tersebut dilaksanakan dengan lebih komprehensif bagi merangkumi sebahagian sungai-sungai utama di seluruh negara.

Berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sungai 2018, JAS sebelum ini mewujudkan program pengawasan air sungai bagi menentukan kualitinya dan mengesan jika ada sebarang perubahan.

Sampel-sampel air sungai diambil daripada stesen-stesen yang telah ditetapkan dan diukur kualitinya secara in-situ serta dihantar ke makmal untuk dianalisis bertujuan menentukan kriteria dari segi fizik-kimia dan biologi.

Sebanyak 8,118 sampel air sungai yang diambil daripada sejumlah 1,353 stesen pengawasan manual yang merangkumi 638 sungai.

Berdasarkan hasil analisis, sejumlah 357 (56 peratus) menunjukkan indeks kualiti air bersih, 231 (36 peratus) adalah sederhana tercemar dan 50 (lapan peratus) adalah tercemar . Walau bagaimanapun beberapa insiden pencemaran yang dilaporkan baru-baru ini mencetuskan kebimbangan ramai pihak,

Justeru, pakar berpendapat, satu daripada jalan penyelesaiannya adalah menggunakan sains dan teknologi bagi menangani masalah tersebut.

Pensyarah Kimia Persekitaran Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Poh Seng Chee berpendapat, kaedah pengambilan sampel dan menjalankan analisis secara perlu dijalankan secara konsisten.

Dengan itu, kualiti air sungai dapat dipantau sepanjang masa dan kerja- kerja tersebut perlu dilakukan oleh JAS. Agensi tersebut juga perlu menetapkan piawaian kualiti air untuk standard alam sekitar dan kegunaan manusia

Menurut Seng Chee, selain penguatkuasaan, JAS juga perlu melakukan kerja kerja mitigasi jangka pendek dan jangka panjang.

“Mungkin kita perlu juga melaksanakan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBS) iaitu proses mengkoordinasi kerja- kerja pemuliharaan pengurusan dan pembangunan air, tanah dan sumber berkaitan.

“Manfaat ekonomi dan sosial kawasan lembangan sungai perlu dimaksimum kan dengan agihan saksama selaras dengan usaha memulihara dan mengembalikan ekosistem air tawar,” ujarnya.

Dr. MOHD YUSOFF ISHAK

Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Yusoff Ishak berpendapat penggunaan sains, teknologi dan pengetahuan sepatutnya menjadi teras kepada usaha -usaha pemuliharaan sungai ketika ini.

Beliau berkata, sains dan teknologi wajar dimanfaatkan bagi memastikan pengurusan sungai dilakukan dengan lebih sistematik bergantung kepada sama ada untuk pemantauan, penyelesaian kes atau pencegahan.

“Bagi tujuan pemantauan, penggunaan dron sesuai untuk mengawal sebarang insiden pembuangan sampah dan bahan kimia ke dalam sungai,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan penggunaan kaedah telemetry atau sistem pemantauan kualiti air secara dalam talian patut diperluaskan ke kawasan titik panas serta sensitif dengan pencemaran.

“Penambahbaikan parameter sistem ini perlu disegerakan bagi mengesan kehadiran bahan cemar lebih awal,” ujar beliau.

Dalam aspek pencegahan pula, zon penampan yang diwujudan, perlu pada jarak bergantung kepada aktiviti berhampiran tebing sungai serta darjah kecerunannya.

Seperkara lagi yang lebih penting adalah penggunaan kaedah sains forensik yang dapat membantu mengesan punca pencemaran dengan mencari bukti bukti yang membawa mereka yang disyaki ke muka pengadilan.

Forensik alam sekitar merupakan satu bidang kepakaran khusus yang menggunakan kaedah dan teknik analisis yang bermatlamat untuk mengenal pasti komposisi dan identiti bahan cemar serta punca-puncanya.

Penggunaan sains forensik memerlukan pengambilan sampel bahan pencemar sungai diambil dan dianalisis di makmal bagi mengetahui jenis kimia tersebut.

“Dengan mengenal pasti pencemar tersebut, pihak berkuasa boleh mencari di mana puncanya , pelakunya berdasarkan simpanan kimia kilang kilang berhampiran sungai dan bahan buangannya.

Kaedah forensik tersebut katanya dapat membantu pihak berkuasa mencari bukti kukuh sebelum membuat pendakwaan.

Sains forensik alam sekitar sebenarnya bukan sesuatu yang baharu negara ini.

Walau bagaimanapun disebabkan kurang pendedahan mengenai penggunannya, menyebabkan bidang ini nampak seolah tidak pernah wujud.

Kaedah ini biasa digunakan bagi mengesan atau mengenal pasti kapal tangki minyak yang bertanggungjawab dalam insiden tumpahan minyak di laut seperti perairan Selat Melaka.

Ini sedikit sebanyak berupaya menyelesaikan kes-kes pencemaran alam sekitar yang tertangguh akibat kekurangan bukti selain mendatangkan rasa gerun kepada sesiapa yang berniat jahat.

Namun, dari segi jangka panjang, kaedah pencegahan masih merupakan langkah yang terbaik dalam menangani isu alam sekitar di mana-mana jua.

Justeru katanya, masih banyak perlu dilakukan seperti memasang sistem amaran awal bagi mengesan sekiranya berlaku pencemaran.

Penggunaan teknologi juga mendapat pandangan positif daripada Presiden Persatuan Pencinta Malaysia (MNS), Dr. Ahmad Ismail yang bersetuju supaya penggunaan dron dimanfaatkan untuk tujuan pemantauan.

Menurutnya, penggunaan dron amat penting kerana kurang pemantauan pembangunan tepi sungai menggalakkan pertumbuhan kilang haram dan tidak mengikuti spesifikasi sesuai untuk kawal pencemaran sungai.

“Dengan teknologi dron sekarang kerja pemantauan akan lebih mudah dan berkesan,” ujarnya.

Dr. Ahmad berharap pihak berkuasa merancang pembangunan di tepi sungai manakala pembangunan zon penampan diwujudkan.

“Mungkin setiap universiti utama di Selangor mengambil sungai angkat dan menjalankan penyelidikan berkaitan sungai berkenaan,” katanya.

Tips lindungi sungai

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), menyarankan beberapa perkara diberi perhatian bagi menyelamatkan sungai di negara ini daripada tercemar.

Presidennya S. Piarapakaran berkata, perkara pertama adalah melindungi kawasan tadahan air iaitu semua kerajaan negeri mesti mewartakan kawasan tadahan air termasuk hutan, sungai, tasik, dan lain-lain sebagai rizab kekal dengan segera.

Perkara kedua adalah menetapkan tarif air mentah berdasarkan kualiti air mentah bagi memastikan kerajaan negeri menerima pendapatan yang saksama apabila melindungi kawasan tadahan air untuk menjamin sumber air mentah termasuk air mentah yang merentasi sempadan.

AWER juga berharap supaya Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974 dipinda dengan menambah seksyen baharu antara lain supaya ada klausa yang membenarkan JAS membekukan aset pesalah kepada jumlah wang yang mereka perlu tanggung berdasarkan kes yang dibawa oleh JAS.

Dengan cadangan pindaan tersebut, pesalah perlu membayar denda, kos pembersihan dan tuntutan daripada pihak-pihak yang terjejas.

Persatuan tersebut turut menggesa supaya kaedah kaedah siasatan ke atas insiden pencemaran diperbaiki dan kerajaan patut menubuhkan satu unit baharu supaya penyiasatan bersepadu dilakukan.

AWER juga berharap kerajaan mewujudkan pangkalan data bahan kimia bagi membolehkan semua bahan kimia yang berbahaya dan menghasilkan sisa yang berbahaya (selepas diproses) mesti direkodkan dalam sistem pangkalan data.

“Selain itu kita mahu supaya kgiatan ekonomi yang boleh mencemar air sungai yang menjadi sumber air minuman dan pertanian manakala standard pelepasan air sisa berasaskan beban pencemaran diwujudkan’’ ujarnya.

Menurut beliau, masalah pertama yang menjadi punca sungai tercemar adalah pelepasan air sisa yang tinggi.

Keduanya, terdapat operasi kilang tidak bertanggungjawab melepaskan sisa-sisa yang mencemarkan air sungai.

“Di samping kedua-dua masalah ini, penggondolan hutan untuk tujuan pembalakan dan pembangunan juga menjadi masalah ketiga yang menyumbang kepada masalah pencemaran air,” ujarnya.

Justeru, kawasan tadahan yang juga merupakan hutan dara merupakan lokasi penting dalam kitar air.

Pengurangan hutan menyebabkan kekurangan taburan hujan, mengurangkan kebolehan tanah menyerap air, meningkatkan kekerapan banjir besar dan banjir kilat serta menjadikan musim panas lebih teruk akibat kekurangan dalam fungsi penyejukan oleh hutan semula jadi.

 

 

 

BERITA BERKAITAN