Muzik dalam gelora politik - Utusan Malaysia

Muzik dalam gelora politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK negara semakin hari semakin kacau. Bagai tiada tempoh bertenang. Dengan peningkatan penggunaan media sosial, isu politik jadi buah mulut hampir semua orang, luar dan dalam negara.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membadai samudera politik negara yang kian bergelora. Keadaan semakin kacau dan mengelirukan. Pelbagai hal yang tidak pernah terjadi sehingga wujud Langkah Sheraton. Pertama kali dalam sejarah kerajaan tumbang tanpa melalui pilihan raya.

Semua kekacauan ini bukan sekadar ribut dalam cawan. Ributnya mengacau seluruh warga. Dalam keadaan sebegini, tiadakah seniman yang mahu menjadikannya sebagai inspirasi karya?

Muzik dan politik bukanlah dua bidang yang terlalu jauh terpisah. Banyak kali juga muzik dijadikan senjata dalam politik, baik untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan atau menegakkannya.

Ketika kerajaan junta memerintah Thailand, berlaku ‘perang lagu’ antara pihak yang prokerajaan dengan anti-kerajaan. Ini berlaku dalam tempoh Thailand bakal menghadapi pilihan raya pada Februari 2019.

Kumpulan Rap Against Dictatorship (RAD) mengeluarkan lagu bertajuk Prathet Ku Mee atau What My Country’s Got yang mengkritik gejala rasuah dan ketidakadilan pemerintahan kerajaan junta.

Kerajaan Thailand pula ‘membalas’ dengan melancarkan satu lagi lagi rap, Thailand 4.0 yang membawa objektif berlawanan; mesej-mesej positif dan patriotik.

Spooky Wet Dreams

Negara kita mungkin belum sampai ke tahap itu namun penciptaan lagu yang bersifat patriotik bukanlah asing. Malah, hampir setiap tahun akan ada penyanyi menerbitkan lagu berjiwa cintakan negara menjelang masuk bulan kemerdekaan.

Tidak terkecuali, lagu mengkritik kerajaan serta perlakuan sumbang ahli politik yang lebih tersorok dan tidak diketahui ramai.

Lagu-lagu sebegini kebiasaannya tidak mendapat liputan meluas media arus perdana dan hanya dimainkan dalam gig-gig bawah tanah. Kalau ada pun yang popular, kritik politik hanya menjadi mesej subliminal yang tidak ditampilkan secara jelas.

Jika anda peminat muzik dan politik, mendengar lagu yang menghentam ahli politik secara terus lebih memuaskan. Kebiasaannya, kita akan beralih ke negara jiran, Indonesia untuk mendengar lagu-lagu sebegini.

Iksan Skuter antara yang banyak menghasilkan lagu protes yang tanpa selindung menghentam ahli politik. Nyalakan Tanda Bahaya dan Partai Anjing juga antara yang popular.
Di Malaysia, ada juga yang begitu. Penyanyi folk, Nik Jidan antara yang banyak menghasilkan lagu protes.

Asal Bukan UMNO dan Anak Muda Bernama Teoh, contohnya. Itu belum kira kugiran-kugiran punk rock yang kritikan politik itu memang sudah ada dalam DNA muzik mereka.

NIK JIDAN

Kebelakangan ini juga, semakin banyak kugiran yang bergiat secara indie menghasilkan lagu protes yang mengkritik perlakuan politik.

Antara yang jelas kritiknya adalah Kangkong N Roll oleh Kapow dan Along Zip Zieller. Lirik lagu itu banyak berkisar ketidakpuasan hati rakyat terhadap janji palsu dan perlakuan sumbang ahli politik. Baris “lu jaga sama kami baru wa caya sama lu” bagai sebuah tamparan yang hinggap ke pipi ahli politik di negara ini.

Tidak ketinggalan juga kugiran seperti Spooky Wet Dreams yang menghasilkan lagu Irama Propaganda dan Ini Sekolah Bukan Kilang.

Paling kontroversi pastilah lagu 2.6 Bintang yang dihasilkan kugiran Orkes A. Hizadin ketika skandal RM2.6 bilion bekas Perdana Menteri hangat diperkatakan.

Saya selalu percaya, pemuzik yang baik mampu melagukan kekacauan dalam minda masyarakat. Mungkin lagu-lagu sebegini sukar untuk popular namun perlu dihasilkan bagi mencatat krisis yang berlaku pada ketika itu.

Apa yang dilakukan Kapow, Spooky Wet Dreams dan Orkes A. Hizadin perlu dipuji kerana mereka menolak tepi reaksi negatif masyarakat terhadap karya mereka, asalkan dapat meluahkan apa yang terisi dalam hati melalui lagu.

Seniman – walau dalam apa cabang seni – bertanggung­jawab menyampaikan resah gelisah masyarakat dalam karya mereka. Ketika ini seluruh masyarakat sedang terganggu dek krisis politik tanpa kesudahan, maka memang sepatutnya kita menantikan lebih banyak karya yang mencatat gejolak jiwa masyarakat dalam masa terdekat ini. – Rondivu, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN