Khazanah muzik yang hilang - Utusan Malaysia

Khazanah muzik yang hilang

Naza Mohamad - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja legenda muzik dekad 60-an dan 70-an, kita akan memetik nama-nama besar pop yeh yeh seperti Datuk Jeffrydin, A. Ramlie dan J. Sham. Namun pernahkah kita terfikir, wujudkah muzik lain selain daripada pop yeh yeh pada zaman itu?

Mustahil hanya pop yeh yeh yang dilayan generasi datuk nenek kita ketika itu. Ia mungkin yang paling popular tetapi tak mungkin naluri pemuzik lain pada waktu itu tidak meronta mahu bereksperimentasi dan mencuba bunyi-bunyian lain.

Jawapan kepada soalan itu ada dalam buku Psyche Oh! A Go Go terbitan Obscura Malaysia. Naskhah penting yang mendokumentasi khazanah muzik Malaysia dan Singapura yang dilupakan sejak dahulu.

Sayas sempat bertemu salah seorang pencatat naskhah tersebut, Naza Mohamad yang terkenal sebagai gitaris dan vokalis kugiran The Times baru-baru ini. Banyak yang kami bualkan dan ternyata sangat banyak perkara tentang muzik Malaysia dan Singapura yang belum kita ketahui.

“Bagi aku, generasi baharu berhak tahu yang datuk nenek mereka dulu ‘cool’! Kita berhak tahu, apa sisi gelap (zaman) pop yeh yeh. Yang main muzik keras, hippies, ada woodstock,” kata Naza yang mengambil masa hampir setahun bagi merealisasikan idea menerbitkan buku tersebut.

“Aku tak harapkan apa-apa impak dari buku ini, cuma nak berkongsi dengan seramai mungkin orang tentang kemeriahan muzik kita dulu.

“Nanti bila orang baca buku ini, aku harap mereka akan teroka sendiri muzik-muzik lama ini,” kata Naza.

Buku Psyche Oh! A Go Go mengumpulkan profil ringkas 100 penyanyi dan kugiran yang muncul di Malaysia dan Singapura sejak 1964 sehingga 1974. Ia bagaikan sebuah muzium dalam bentuk buku.

Itupun, kata Naza, terdapat banyak lagi penyanyi dan kugiran yang tidak dapat dimasukkan dalam buku tersebut.

“Dalam 10 tahun itu ada beribu lagu. Aku hanya pilih 100 (profil penyanyi). Aku boleh kalau nak letak 200 atau 300 tapi akan jadi tebal,” katanya.

Bercerita tentang muzik Malaysia dan Singapura yang begitu maju dan eksentrik itu, saya tertanya-tanya tentang rujukan dan inspirasi penyanyi dan kugiran pada masa itu.

Untuk mengetahui rujukan kugiran pada tahun 2020 ini amat mudah kerana dengan teknologi internet yang ada, muzik dari ceruk mana dalam dunia pun kita boleh akses. Namun untuk kugiran pada dekad 60-an, akses tidaklah semudah sekarang.

“Di Asia Tenggara, muzik kita ketika itu jauh terkehadapan berbanding negara seperti Vietnam, Thailand malah Indonesia sebab British bertapak di sini. Kugiran terbaik dunia seperti Led Zeppelin, Pink Floyd dan The Beatles, semua datang dari British. Mereka bawa bersama muzik dan budaya mereka ke sini.

“Piring hitam Pink Floyd, The Beatles, dua minggu selepas terbit di British dah ada di sini. Ada pressing Malaysia, dia tak ada pressing Indonesia. Memang ada di sini, jadi hal rujukan ini memang tak ada masalah.

“Kita di bawah jajahan British jadi mereka bawa semua itu ke sini. Dia nak westernized orang Melayu.

“Sebab itu kalau kau tengok, (ketika itu) sudah ada bunyi surf punk, bunyi Jimmy Hendrix. Sedangkan dia (kugiran) di Muar tapi main macam Jimmy Hendrix,” terang Naza.

Setakat ini, buku Psyche Oh! A Go Go telah terjual kira-kira 1,500 unit selepas prapesan mula dibuka pada Jun lalu.

Sambutannya ternyata hangat kerana pada awalnya, buku tersebut hanya dirancang untuk dicetak sebanyak 300 salinan sahaja. Namun, kesemua 300 salinan ditempah dalam tempoh 24 jam.

“90 peratus buku ini dibeli bukan oleh pak cik-pak cik, sebab pak cik-pak cik ini dah tahu. Ramai yang beli adalah golongan muda yang nak tahu tentang muzik pada era itu.

“Ramai yang terkejut apabila dengar, wow, kita ada kugiran macam ini yang main macam Black Sabbath.

“Alhamdulillah, reaksi yang kami dapat sangat menggalakkan. Tak sia-sia aku buat benda ini,” kata Naza. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya