Memelihara pelbagai burung sebagai haiwan kesayangan adalah biasa, tetapi apabila semua burung peliharaan itu mendengar kata tuannya, tentu ada keistimewaannya tersendiri.
Hal ini diakui oleh pemilik dan penyimpan lebih 40 burung spesies Lovebird, Rohizam Ab. Rahman, 39. Minatnya terhadap burung bermula sejak kecil lagi namun pada ketika itu dia masih tidak mampu merealisasikan impiannya.
Selepas tamat persekolahan beliau dimasukkan ke kem Latihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Labuan Sabah.
“Dahulu agak susah untuk saya pelihara kerana masih bujang dan tempat tinggal yang terhad,” katanya.
TIDAK PERLU LESEN

Pada awalnya, Rohizam berpendapat memelihara burung memerlukan lesen namun tanggapannya salah. Sebabnya tidak semua jenis burung perlukan lesen untuk dipelihara dan ini termasuklah spesies burung kakak tua dan lovebirds.
“Sebelum saya memelihara lovebird, saya banyak bertanya kepada sifu-sifu yang sudah lama memelihara tentang cara penjagaan dan spesies lain dalam kalangan burung kakak tua ini.
“Ternyata sebenarnya ada pelbagai jenis spesies burung kakak tua dan juga lovebird ini,” jelasnya.
BELI SEPASANG
Bermula dengan membeli sepasang pada harga RM450, empat tahun lepas dia kini memiliki lebih 40 ekor burung. Beliau turut menjadikan haiwan itu sebagai sumber pendapatan dengan menjual pada harga RM400, bergantung kepada jenis.
Berhubung aspek penjagaan, Rohizam berkata burung lebih mudah dijaga berbanding haiwan lain seperti kucing. Kira-kira RM150 sebulan diperuntukkan daripada segi pemakanan.
“Saya meminati spesies ini kerana ia mudah diajar dan dijinakkan. Malahan, burung boleh menjadi lebih jinak daripada haiwan lain jika pandai dilatih,” katanya.
Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut tentang penjagaan burung ini boleh melayari laman YouTube Rohizam iaitu ZamBrown love bird atau laman media sosial facebook milik beliau Zam Brown Bird LB.











