Hari Asyura bukan untuk diratapi - Utusan Malaysia

Hari Asyura bukan untuk diratapi

Antara sunat yang digalakkan kepada umat Islam adalah puasa hari Asyura dan membanyakkan puasa dalam bulan Muharam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap hari yang dianjurkan oleh untuk kita berpuasa sudah pasti adalah hari yang agung di sisi Allah dan rasul-Nya. Begitu jugalah dengan hari Asyura (10 Muharam), kita pasti akan diingatkan akan kepentingan puasa pada siang harinya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Dan puasa hari Asyura, aku berharap kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Muslim).

Nabi SAW pernah berpuasa pada setiap hari Asyura sebelum berhijrah ke Madinah. Setelah turunnya perintah puasa Ramadan, maka baginda tidak mewajibkan lagi untuk para sahabat berpuasa pada hari Asyura.

Setelah berhijrah ke Madinah, Nabi SAW mendapat tahu bahawa kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura kerana Nabi Musa a.s berpuasa padanya sebagai tanda syukur kepada Allah dan mengagungkan-Nya atas selamatnya Nabi Musa a.s dan Bani Israel daripada cengkaman Firaun dan bala tenteranya yang ditenggelamkan di dalam belahan laut.

Lalu Nabi SAW menganjurkan puasa pada hari Asyura kerana mengikuti Nabi Musa a.s menzahirkan pengagungan kepada Allah sebagaimana baginda juga berkata kepada para kaum Yahudi bahawa umat Islam jauh lebih berhak untuk mencontohi Nabi Musa a.s berbanding mereka.

Demikianlah Nabi SAW yang kita kasihi membimbing kita dalam mengagungkan sesuatu hari. Namun di sana ada kelompok dalam kalangan mereka yang mendakwa bahawa mereka pencinta keluarga Nabi SAW mengagungkan hari Asyura dengan cara yang jauh berbeza daripada yang dianjurkan oleh baginda SAW.

Hari Asyura di sisi kelompok ini disambut dengan darah dan jeritan hasil pukulan serta tetakan juga ratapan yang kononnya dihadiahkan kepada Al-Husain bin Ali r.a cucunda Nabi SAW.
Tiada sesesiapun dalam kalangan umat Islam yang tidak bersedih dengan pembunuhan Al-Husain r.a. Kita umat Islam diajar beriman bahawa yang membunuh itu pasti akan dihukum di Hari Perhitungan jika mereka terlepas daripada diadili di dunia.

Adapun Al-Husain yang kita cinta sudah pasti beliau adalah insan yang dirahmati Allah atas jasanya kepada ummah dan keakrabannya dengan utusan Allah.

Walau bagaimanapun, Nabi SAW melarang keras mereka yang meratapi sebuah kematian dengan kekerasan apatah lagi darah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Bukan dari kalangan kami orang yang menampar-nampar wajahnya, dan yang mengoyak-ngoyakkan pakaiannya, dan yang menyeru menjerit dengan seruan-seruan jahiliah (ketika ditimpa musibah). (Riwayat Al-Bukhari).

Sudah pasti juga Al-Husain r.a jika beliau masih hidup tidak akan pernah reda dengan apa jua bentuk ratapan apatah lagi yang berdarah yang dilakukan untuk kematian beliau.
Al-Hafiz Ibn Rajab r.h menyebut di dalam Lataif al-Maarif bahawa Allah dan rasul-Nya tidak pernah mengarahkan untuk diratapi musibah yang menimpa para nabi dan rasul, apatah lagi untuk kita ratapi musibah yang menimpa ke atas selain mereka.

Oleh itu, umat Islam perlu mencontohi Nabi SAW dalam apa jua amalan termasuklah dalam mengagungkan hari-hari tertentu. Ikutlah sunnah barulah kita selamat dari ditipu oleh syaitan yang akan sentiasa berusaha menyesatkan hamba Allah.

 

 

 

 

 

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya