SEBAGAI barisan hadapan, pasukan penguat kuasa memainkan peranan yang cukup penting dalam menjaga keselamatan orang ramai khususnya ketika seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan pandemik Covid-19.
Seperti kita, anggota pasukan penguat kuasa juga berhadapan dengan risiko jangkitan wabak berkenaan, namun demi tanggungjawab, mereka terpaksa mengenepikan sebarang rasa ketakukan.
Apabila sesuatu kawasan itu didapati mempunyai banyak kes positif daripada wabak yang mula dikesan di Wuhan, China sejak akhir tahun lalu itu, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) bagi mengekang penularannya.
Apabila arahan itu dikeluarkan, bermulalah tugas yang dipertanggungjawabkan kepada pasukan keselamatan yang meliputi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk menjaga jalan keluar masuk ke kawasan berisiko terbabit.
Tugas tersebut juga memerlukan pengorbanan daripada pegawai dan anggota yang terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga demi menjaga keselamatan rakyat.
Baru-baru ini, kerajaan melaksanakan Temco di Kuala Sanglang selepas terdapat 11 kes positif Covid-19 di kawasan tersebut yang menyaksikan anggota keselamatan di negeri ini perlu mengawal keadaan di situ. Perintah tersebut ditamatkan pada 26 Ogos lalu.
Seorang anggota polis, Lans Koperal Muhammad Abdullah Rahman yang bertugas di sekatan jalan raya di kawasan Temco Sanglang berkata, masa bersama ahli keluarga terutamanya empat orang anaknya yang berusia 11 hingga dua tahun terhad sejak penularan wabak ini.
Katanya, ketika keluar bekerja anak-anak masih belum bangun dan apabila pulang mereka sudah tidur.
“Cabaran dalam bentuk persekitaran seperti cuaca panas dan hujan itu pula adalah perkara biasa yang kami lalui. Baru-baru ini berlaku ribut sehingga kami terpaksa memegang khemah agar tidak diterbangkan angin, di samping lampu turut pecah.
“Walau bagaimanapun, ini adalah tanggungjawab yang perlu kami galas untuk memastikan wabak ini dapat dikawal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, anggota ATM, Koperal Mohd Zulhilmi Ismail berkata, cabaran yang dihadapi ketika bertugas di SJR kawasan Temco Sanglang adalah cubaan penduduk yang cuba keluar dari kawasan kuarantin menggunakan lorong tikus.
“Ada juga beberapa cubaan untuk keluar menggunakan lorong tikus tetapi kami berjaya memintas mereka.
“Selain itu, ada juga yang mahu keluar dari sekatan dengan alasan yang tidak munasabah dan tidak mahu memberi kerjasama. Namun, setelah kami memberi penjelasan, akhirnya mereka akur,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang anggota Rela, Masrizan Herry Musa memberitahu, dia tetap menjalankan tanggungjawab yang diarahkan walaupun terpaksa berdiri berjam-jam di tepi jalan dalam keadaan panas terik ataupun hujan lebat.
“Macam-macam ragam juga dapat dilihat apabila sesetengah penduduk mahu juga keluar daripada kawasan Temco ini. Ada yang memberi alasan mahu beli barang dan macam-macam lagilah,” katanya.
Anggota tetap bersemangat tinggi

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, anggotanya sentiasa bersemangat tinggi dalam menjalankan tugas demi masyarakat meskipun perlu berkorban masa dan tenaga sepanjang 24 jam berkawal di kawasan sekatan jalan raya di situ.
Katanya, sebanyak 56 anggota termasuk daripada ATM dan Rela bergilir-gilir mengikut syif di dua sekatan jalan raya di sini sejak minggu lalu.
Katanya, pasukan rondaan pula terdiri daripada 24 anggota yang akan memantau keadaan di kawasan Temco ini.
“Anggota kita semangat di tahap cukup tinggi, tidak ada masalah menjalankan tanggungjawab demi masyarakat. Kita berusaha untuk sama-sama membantu mencegah penularan Covid-19 ini,” katanya.
Tambahnya, dalam tempoh seminggu Temco dilaksanakan, kebanyakan penduduk di kawasan terlibat memberi kerjasama yang baik dengan mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Sejak kita menahan empat individu yang bertindak curi keluar daripada kawasan Temco sebelum ini, tidak ada lagi kes baharu setakat ini.
“Kebanyakan penduduk sudah mula sedar kepentingan kekal di rumah dalam usaha mencegah penularan Covid-19 ini.
“Malah, kita juga menutup dan mengawal 11 lokasi atau lorong tikus yang boleh menjadi akses penduduk keluar daripada kawasan ini,” katanya.
“Saya harap, masyarakat bersama-sama dengan petugas barisan hadapan ini dalam usaha melawan Covid-19,” katanya.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan pelaksanaan Temco di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Sanglang. Ia tamat pada 26 Ogos lalu.