Udang galah dilepaskan ke sungai - Utusan Malaysia

Udang galah dilepaskan ke sungai

Udang galah dilepaskan ke sungai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Udang galah (Macrobrachium rosenbergii) merupakan spesies asli yang terkenal bagi kebanyakan sungai di negara ini sehinggakan suatu ketika dahulu ia dikenali sebagai Giant Malaysian Prawn oleh penternak dan penyelidik di negara luar.

Udang galah amat penting dalam ekonomi dan ia menjadi penanda aras bagi kepelbagaian biodiversiti dan kelestarian sumber perikanan yang terdapat di perairan kita.

Oleh yang demikian, stok udang galah harus dijaga secara terurus, sistematik dan mampan agar sumbernya tidak pupus dari perairan negara kita. Berdasarkan data yang direkodkan oleh Jabatan Perikanan seperti yang dinyatakan menerusi , Perangkaan Perikanan dari tahun 2002 hingga 2018 bagi Jadual Perairan Umum, didapati bahawa kadar pendaratan udang galah di negara ini semakin meningkat saban tahun.

Menyedari masalah tersebut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif mewujudkan program Pelepasan Benih Bagi Pemuliharaan Dan Peningkatan Stok Populasi Udang Di Terengganu dengan tujuan meningkatkan stok spesies tersebut. Ini kerana di Terengganu, data tangkapan udang galah yang diperoleh semakin menurun dengan drastik bermula pada 2006.

Hal yang demikian telah menarik perhatian penyelidik di universiti berkenaan untuk mengkaji punca dan sekali gus mencari penyelesaian kepada masalah tersebut.

Inisiatif tersebut dirintis oleh Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (Akuatrop) sebuah institut yang diwujudkan oleh universiti berkenaan untuk menjalankan penyelidikan dalam bidang akuakultur.

Tambahan lagi, kedudukan UMT yang strategik dan berhampiran dengan lubuk udang galah seperti di Sungai Pakak, Sungai Terengganu dan Sungai Setiu bagi memudahkan proses pemantauan secara berterusan.

Menurut Pengarah Akuatrop, Prof. Dr. Mhd. Ikhwanuddin Abdullah program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dirangka di bawah Projek Translasional Program Pelepasan Benih Bagi Pemuliharaan Dan Peningkatan Stok Populasi Udang Galah di Terengganu yang diketuainya.

Beliau berkata, sebanyak 404,000 anak benih udang galah telah dilepaskan di Sungai Nyatoh menerusi enam siri program pelepasan sebelum ini.

“Akuatrop menyasarkan untuk melepaskan sejuta anak benih udang galah dalam tempoh dua tahun projek ini dijalankan.

“Semua benih udang galah yang dilepas untuk projek ini dihasilkan daripada hatcheri kita di Akuatrop.

“Kita tidak boleh menggunakan benih udang selain yang kita hasilkan kerana telah mempunyai penanda biologi untuk mengesan kembali udang yang lepas bagi penentuan peningkatan populasi udang galah di sungai tersebut, “ ujarnya.

Pihaknya berazam untuk menjadi peneraju utama dalam usaha pemuliharaan dan peningkatan stok populasi udang galah secara sistematik di negara ini.

Matlamat tersebut selari dengan hasrat Akuatrop yang ingin mendapatkan penarafan sebagai Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (HICOE) 2020 di bawah tema Kelestarian Akuakultur Kerang-kerangan Sebagai Makanan Masa Hadapan.

Beliau memberitahu, Akuatrop baru-baru ini meneruskan program tersebut meskipun diadakan dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, ekspedisi kedua bagi program ini telah dilaksanakan pada 19 hingga 23 Julai lalu, dengan objektif utama adalah untuk menjalankan pemantauan semula terhadap peningkatan stok populasi udang galah di Sungai Nyatoh, Setiu selepas beberapa siri aktiviti pelepasan anak benih berpenanda biologi dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, beberapa skop tugasan penting juga telah dilakukan dengan cara pembahagian kerja mengikut kumpulan yang ditetapkan berdasarkan kepakaran masing-masing antaranya menahan pukat dan memasang bubu di lima stesen yang telah ditetapkan.

Bubu dan pukat tersebut diperiksa setiap pagi selama ekspedisi berlangsung manakala aktiviti memancing udang galah pula dilakukan sebanyak tiga sesi pada setiap hari. Tiga sesi tersebut adalah pada waktu pagi dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, pada pukul 4.30 petang hingga 7 malam dan dari pukul 9 malam hingga 12 tengah malam.

Hasil tangkapan yang diperoleh dibawa balik ke post penyelidikan sementara untuk aktiviti penyelidikan yang lebih lanjut.

Beberapa tugasan lain perlu dilakukan iaitu memeriksa parameter air di Sungai Nyatoh secara in-situ bagi mendapatkan bacaan oksigen terlarut, suhu, pH dan saliniti (kemasinan) air. Selain itu, kedalaman sungai turut direkodkan dengan menggunakan portable depth meter.

Setelah selesai, sampel air dibawa pulang ke makmal penyelidikan Akuatrop untuk analisis nutrien dan biojisim.

Beliau berharap, usaha Akuatrop ini mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak bagi menjadikan udang galah sebagai Permata Biru dari sungai-sungai utama di Terengganu.

Naib Canselor rasmi program

Dr. Nor Aieni Mokhtar melancarkan Ekspedisi Program Pelepasan Benih Bagi Pemuliharaan dan     Peningkatan Stok Populasi Udang Galah di Terengganu pada 18 September tahun lalu melibatkan    sebanyak 40,000 ekor.

 

Menurut Prof. Dr. Mhd Ikhwanuddin Abdullah beberapa aktiviti utama telah dijalankan sebelum in antaranya termasuklah perasmian yang diadakan pada September tahun lalu oleh Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar.

Ia turut disaksikan oleh Ahli Parlimen Setiu; Shaharizukirnain Abd Kadir; Wakil Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Wakil Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Wakil Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Wakil Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu dan komuniti setempat.

Antara sampel udang galah yang berjaya ditangkap di Sungai Nyatoh, Setiu.

 

Senarai aktiviti terdahulu

24 April 2019

» Lawatan kawasan kajian bagi menentukan plot kajian di Sungai Nyatoh, Setiu telah dijalankan.
» Seramai 10 orang ahli menaiki 2 buah bot sewa telah menyelusuri Sungai Nyatoh.
» Sebanyak 10 lokasi kajian ditetapkan dan lima lokasi dikenal pasti untuk tujuan pemantauan.
» Stesen pemantauan ini dikenal pasti setelah data parameter air diambil.

9 Mei 2019
» Aktiviti pelepasan 160,000 anak udang galah berpenanda biologi di Sungai Nyatoh.
» Aktiviti pelepasan ini melibatkan staf Akuatrop, pelajar latihan industri dan nelayan tempatan.

18 September 2019
» Sebanyak 40,000 ekor anak benih udang galah telah dilepaskan semasa majlis perasmian ekspedisi .

1 Oktober 2019
» Sebanyak 20,000 anak benih udang galah dilepaskan di Sungai Nyatoh.

25 November 2019
» Sebanyak 35,000 anak benih udang galah dilepaskan di Sungai Nyatoh.

26 Februari 2020
» Dua kali pelepasan masing-masing sebanyak 74,000 dan 75,000 ekor menjadikan keseluruhannya 244,000 ekor.

Info program

» Melibatkan 30 staf profesional dan sokongan menjalankan kajian
masing-masing.
» Mendapat pembiayaan Skim Geran Penyelidikan Translational dengan peruntukan sebanyak RM300,000.
» Tempoh 24 bulan dari 1 April 2019 hingga 31 Mac 2021.

Skop tugasan
a. Kajian reproduktif biologi
b. Kajian stok populasi  semula jadi
c. Kajian profil genetik
d. Kajian kualiti air
e. Pemakanan semula jadi
f. Kajian penyakit
g. Kajian sosioekonomi

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya