fbpx

24 September 2020, 4:12 pm

  TERKINI

Sejarah khat dalam al-Quran

KOMPLEKS Percetakan al-Quran Raja Fahd di Madinah yang beroperasi sejak 1985 telah mencetak lebih 300 juta mushaf al-Quran yang diedarkan ke seluruh dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FIQH Al-QURAN

DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

Pada hari ini khat yang diguna untuk menulis al-Quran ialah khat nasakh. Setiap huruf ditulis dengan bentuk yang jelas dan mudah dibaca. Amat menarik juga jika disorot sejarah khat pada zaman permulaan Islam. Beberapa rujukan menceritakan bagaimana bermulanya tulisan arab dan bentuk ia dibawa ke dunia arab.

Imam al-Dani menyebut dengan sanadnya sampai kepada Ziyad Ibn An’am berkata: aku bertanya kepada Abdullah Ibn Abbas ra: Adakah bangsa Quraisy menulis semasa zaman jahiliah dengan tulisan arab di mana ejaannya dengan alif, lam, mim disambung huruf yang boleh disambung dan menceraikan huruf yang dicerai sebagaimana ejaan ketika ini sebelum daripada Rasulullah SAW diutus menjadi rasul?

Ibn Abbas menjawab: ya. Ziyad bertanya: Siapakah yang mengajar kamu ilmu tulisan ini? Ibn Abbas r.a menjawab: Harb Ibn Umayyah. Ziyad bertanya: Siapakah yang mengajar Harb Ibn Umayyah? Ibn Abbas r.a menjawab: Abdullah Ibn Jad’an. Ziyad bertanya: Siapakah yang mengajar Abdullah? Ibn Abbas ra menjawab: Penduduk Anbar. Ziyad bertanya: Siapakah yang mengajar penduduk Anbar? Ibn Abbas ra menjawab: seorang lelaki yang datang kepada mereka daripada Yaman dari daerah Kindah. Ziyad bertanya; Siapakah yang mengajar lelaki tersebut? Ibn Abbas ra menjawab: Khaljan Ibn Muham iaitu penulis kepada Nabi Hud a.s.

BANGSA ARAB

Al-Kalbi meriwayatkan daripada Awanah bahawa orang pertama menulis khat ialah al-Jazm Maramir Ibn Murrah, Aslam Ibn Sidrah dan Amir Ibn Judrah. Mereka berbangsa arab iaitu kabilah Tai di mana mereka belajar menulis dari penulis wahyu Nabi Hud.

Selepas itu mereka mengajar penduduk Anbar. Daripada situ berkembangnya ilmu penulisan di Iraq. Bisyr Ibn Abdul Malik iaitu saudara kepada Ukaidar Ibn Abdul Malik adalah pemerintah Daumat al-Jandal mempelajari ilmu tulisan ini dan beliau mempunyai hubungan rapat dengan Harb Ibn Umaiyyah kerana urusan perniagaan di Iraq.

Justeru Harb mempelajari ilmu penulisan daripada Bisyr. Harb ini pula mengajar kaum Quraisy. Harb dan Bisyr kemudian pergi ke Mekah. Bisyr berkahwin dengan Sohba Harb iaitu adik perempuan Abu Sufian r.a.

Semasa di Mekah ramai yang mempelajari ilmu tulisan ini daripada Bisyr. Di sini dapat difahami bahawa guru yang mengajar khat di Mekah ialah Harb Ibn Umaiyyah dan Bisyr Ibn Abdul Malik.
Ulama menyatakan jenis khat yang Harb ajarkan kepada kaum Quraisy ialah Khat al-Anbari dan selepas berpindah ke Hijaz ia dinamakan dengan khat hijazi. Khat ini selalu digunakan untuk penulisan surat, syair dan lain-lain.

WAHYU

Apabila Islam datang, mereka menulis wahyu dengan hijazi. Begitu juga dengan suhuf Abu Bakar dan Mushaf Uthman semuanya menggunakan khat hijazi. Hal ini berterusan dalam penulisan mushaf sehinggalah pembukaan banyak kota.

Penulis khat di Kufah amat memberi perhatian kepada khat arab ini dan melakukan banyak penambahbaikan dalam seni khat sehingga khat penduduk Kufah berbeza dengan khat hijazi. Lalu khat mereka dinamakan khat kufi dan ia digunakan juga untuk menulis mushaf.

Ilmu khat berkembang dan diberi penambahbaikan dalam kalangan mereka yang pakar dalam ilmu ini seperti Qutbah al-Muharrir, Dohhak Ibn Ajlan dan Ishaq Ibn Hammad.

Qutbah telah melakukan inovasi terhadap khat kufi dan khat hijazi dengan satu khat lain yang mengabungkan dua khat tersebut. Khat itu dianggap khat asas yang diguna pakai dalam penulisan.

Semasa pemerintahan kerajaan Abbasiah, ilmu khat berkembang seiring dengan ilmu lain. Zaman keemasan ilmu khat berlaku dengan munculnya Ibn Muqlah, seorang menteri ketika itu. Beliau mempunyai idea yang menarik dan canggih dalam ilmu khat sehingga dapat menyempurnakan lagi apa yang dilakukan oleh pakar khat sebelumnya iaitu Qutbah.

Ibn Muqlah merubah bentuk khat kufi kepada bentuknya yang ada pada masa kini dan juga mencipta banyak bentuk khat yang lain. Selepas Ibn Muqlah muncul pakar khat yang bernama Ibn Bawwab.  Beliau banyak melakukan penambahbaikan yang dilakukan oleh Ibn Muqlah dan menyempurnakan lagi kaedah dengan bentuk khat yang lebih baik.

MANUSKRIP AL-QURAN DI UNIVERSITI BIRMINGHAM

Kandungan manuskrip ini ialah surah al-Kahf ayat 23-31, surah Maryam ayat 91-98 dan surah Taha ayat 1-13. Dikatakan manuskrip ini berusia 1370 tahun dahulu iaitu menyamai 1411 Hijrah yang lalu.

Ia dianggap manuskrip al-Quran yang terawal berdasar kepada khat yang digunakan iaitu khat hijazi. Selepas dilakukan pancaran karbon, disahkan ia ditulis antara tahun 568M hingga 645M.

Seorang ahli khat Iraq, Dr. Wali menyifatkan manuskrip ini ditulis dengan khat hijazi yang cantik, boleh dibaca dan dianggap ia dari zaman tiga khalifah terawal. Manuskrip ini disimpan di perpustakaan universiti sejak 50 tahun yang lalu dan tidak diketahui nilainya. Namun selepas pengkaji melakukan analisa didapati ia ditulis pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Isu ini disiarkan secara meluas melalui media pada 2015. Selepas ia viral, seorang ulama al-Quran iaitu Dr. Aiman Suwaid yang banyak menghasilkan kitab berkaitan tajwid, sanad dan pengajaran tajwid dalam media memberi ulasan yang sangat berguna untuk menilai manuskrip tersebut.

Katanya, metodologi barat dan metodologi Islam dalam menilai isu ini berbeza. Barat melihat melalui pancaran karbon bagi mengenali tarikh manuskrip. Tetapi metodologi Islam ialah mesti mengenali siapakah penulis manuskrip dan dari manakah ia ditulis.

Semua penulis wahyu atau penulis al-Quran mempunyai peribadi yang tinggi sifat amanah dan terkenal sifat benarnya seperti Zaid Ibn Thabit r.a yang mana Abu Bakar al-Siddiq r.a berkata kepadanya, kamu adalah seorang pemuda yang amanah dan kami tidak tohmah kamu dengan pendustaan.

Selain itu, perlu juga diketahui dari manakah manuskrip ini ditulis? Maklumat ini amat perlu kerana al-Quran pada peringkat awal lagi iaitu pada zaman Uthman r.a disalin dengan berpandukan suhuf Abu Bakar Siddiq r.a.

 

SURAT Nabi Muhammad SAW kepada maharaja Rom menggunakan tulisan khat hijazi mengajaknya memeluk Islam.

 

MANUSKRIP

Selepas itu, al-Quran disalin berpandukan mushaf terdahulu. Jika manuskrip tersebut sama nasnya dengan al-Quran maka alhamdulillah tetapi jika berlainan dengan mushaf yang ada, maka yang terpakai adalah mushaf yang ada bersama kita.

Berikut adalah surat nabi saw kepada maharaja rom. Sebahagian maksud kandungan surat itu adalah: “Basmalah dan menyeru Maharaja Rom kepada Islam. Terimalah kamu agama Islam kamu akan selamat dan Allah anugerahkan kamu dengan dua anugerah”.

Jika dilihat jenis khat yang ditulis dalam surat di atas dan jenis khat pada manuskrip al-Quran di perpustakaan Universiti Birmingham, ia seakan daripada jenis yang sama.

Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.

BERITA BERKAITAN