fbpx

24 September 2020, 5:23 pm

  TERKINI

Peranan zakat dalam pandemik Covid-19

LEMBAGA Zakat Selangor menyerahkan bantuan ventilator kepada Hospital Selayang dalam memudahkan operasi harian sepanjang pandemik Covid-19, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh: HAMIZUL ABDUL HAMID

 

Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada semua pihak baik manusia mahupun industri. Ia memberi kesan besar kepada sosio-ekonomi dunia. Di seluruh dunia, arahan lockdown telah berlaku dan senario ini memberi kesan negatif kepada ekonomi.

Banyak sektor terjejas teruk. Syarikat penerbangan rugi, hotel dan pusat pelancongan gulung tikar, malah mak cik kantin pun kehilangan pendapatan.

Kesan berantainya, banyak yang dibuang kerja atau terpaksa menutup perniagaan. Fenomena ini menjadi asbab utama kepada lahirnya kemiskinan baharu.

Harus diingat, kemiskinan yang tidak terkawal, boleh mencetuskan pelbagai implikasi sosial. Ia menjadi pemacu kepada jenayah kekerasan, ragut, rompakan malah tidak mustahil berlakunya rusuhan dan kekacauan.

Jadi, peranan zakat adalah membantu pemerintah secara tidak langsung agar ‘kekacauan’ berkenaan tidak berlaku.

Dalam konteks ini, zakat berperanan aktif berpandukan tiga tahap keperluan manusia, iaitu dharuriyat (asasi), hajiyat (kemudahan dan kelapangan) dan tahsiniyat (kesempurnaan).

Ibarat sebuah rumah, memiliki rumah yang selamat didiami itu satu keperluan asasi (dharuriryat), mempunyai rumah berhawa dingin itu satu kemudahan dan kesenangan (hajiyat). Namun, apabila rumah seperti hotel lima bintang, punya kolam renang dan lif, itu jelas masuk kategori kesempurnaan (tahsiniyat).

Dalam hal ini, zakat berperanan memastikan umat Islam yang terjejas dengan pendemik ini mendapat hak mereka, paling minimum pada tahap yang paling asas, iaitu dharuriyat.

Malah dengan menjaga keperluan dharuriyat itu juga bererti zakat memastikan pelaksanaan maqasid syariah turut dipatuhi. Ini kerana, keperluan tahap dharuriyat itu termasuklah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta daripada binasa.

Contohnya, zakat membantu dalam menjaga agama agar mereka yang terjebak dengan masalah kemiskinan ini tidak kehilangan arah, sehingga merosakkan akidah. Hadis Nabi SAW yang bermaksud: Hampir saja kefakiran membawa kepada kekufuran. (Riwayat Baihaqi)

Begitu juga menjaga nyawa agar tidak berlaku pertumpahan darah kerana kekacauan akibat kebuluran, menjaga akal agar tidak ada yang bertindak nekad membunuh diri atau menjadi gila kerana tekanan hidup, menjaga keturunan agar tidak ada yang tergamak menjual kehormatan demi sesuap makanan dan menjaga harta, supaya tidak berlakunya jenayah ragut, curi dan sebagainya.

Kesimpulannya, zakat berusaha membantu dalam ruang lingkup yang diizinkan syarak selaras dengan maqasid syariah. Dalam konteks lebih luas, seperti membantu melengkapkan keperluan hospital dan sebagainya, ia bukanlah peranan utama zakat. Sebabnya, kerajaan masih ada sumber lain untuk melengkapkannya.

Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Sekretariat Dakwah, LZS (MAIS) dan boleh dihubungi di [email protected]

BERITA BERKAITAN