Op Benteng banteras penyeludupan, Pati - Utusan Malaysia

Op Benteng banteras penyeludupan, Pati

Anggota Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) memeriksa kenderaan yang melalui pos keselamatan di sempadan darat laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand . – Utusan/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAWASAN sempadan negara di Bukit Kayu Hitam, Kedah menjadi ‘titik’ panas bagi penyeludup membawa sekecil-kecil barang sehinggalah manusia. Malah. mereka menggunakan 1,001 satu taktik untuk memastikan aktiviti tidak dapat dikesan.

Namun ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’. Semua aktiviti mereka dapat ‘dihidu’ oleh agensi keselamatan menerusi Op Benteng bermula Mei lalu.

Lawatan media baru-baru ini memberi peluang melihat bagaimana agensi keselamatan yang bernaung di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja (JKDM) mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Selain itu, media turut diberi peluang melihat sendiri situasi semasa di sempadan negara termasuk lorong tikus dan aspek penugasan mereka di sana.

Bagi Panglima Briged Keenam Infantri, Brigadier Jeneral Datuk Mohd. Halim Khalid berkata, ATM terpaksa menggali parit bersaiz kira-kira 2.2 meter bagi memastikan tiada motosikal atau kenderaan pacuan empat roda melepasi pagar tersebut.

“Apabila kita menggali parit ini, kenderaan tidak boleh terus ke kawasan pagar sempadan namun sindiket penyeludupan ini licik dan sanggup berjalan kaki umpama tentera semut untuk menyeludup barangan seperti daun ketum ke negara jiran.

“Oleh itu, pihak tentera masih meletakkan anggota untuk berkawal di 20 laluan tikus yang telah dikenal pasti di sempadan negara di Durian Burung ini,” katanya ketika ditemui semasa liputan media eksklusif Op Benteng baru-baru ini.

Mohd. Halim Khalid (kiri) beramah mesra dengan anggota tentera yang terlibat dalam Op Benteng.

 

Dalam pada itu, Pegawai Memerintah Batalion Tiga Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Rosman Kasman berkata, PDRM sendiri berjaya mengesan banyak laluan tikus menerusi pemantauan udara sepanjang ‘Op Benteng’, namun tidak dapat dipastikan jumlah sebenar.

“Lorong tikus ada yang digunakan dalam dua atau tiga kali atau mungkin lebih. Sebagai contoh di Wang Kelian ada lorong tikus yang digunakan untuk bawa pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Tetapi apabila kita periksa, laluan sama turut digunakan untuk membawa daun ketum dan berjaya mengesan 40 ‘tentera semut’ yang membawa daun tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, petugas media turut berpeluang melihat keadaan Depot Tahanan Imigresen Belantik yang diuruskan oleh Jabatan Imigresen.

Tidak keterlaluan jika dikatakan PATI di sini dilayan amat baik walaupun ditahan atas kesalahan menceroboh negara ini.

Disamping itu, mereka diberikan kemudahan kesihatan, makan dan minum empat kali sehari, serta beberapa keperluan lain mengikut hak asasi manusia.

Menurut Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaluddin, kerajaan membelanjakan lebih RM3 juta setahun untuk membiayai kos makan dan minum PATI di depot tahanan.

“Kalau ada tahanan yang tidak sihat kami rawat di depot, tetapi jika libatkan penyakit serius, mereka akan dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.

“Sebagai contoh ada kes kelahiran di depot tahanan dan pihak imigresen bantu tahanan, dengan memberikan kemudahan yang sewajarnya,”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN