Mukjizat hijrah Nabi Muhammad - Utusan Malaysia

Mukjizat hijrah Nabi Muhammad

PEMOHON yang layak menunaikan haji tahun ini sudah mendapat pesan teks sejak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

oleh Prof Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad

Mengingati peristiwa hijrah dan pengkisahan­nya sudah menjadi lumrah setiap kali bermulanya awal Muharam. Pengkisahan sejarah hijrah ini bertujuan menggambarkan rasa cinta dan sayang kepada Nabi Muhammad SAW. Bukan kerana lupa dan lalai tetapi untuk mengingati lebih dekat sejarah yang berlaku dalam kehidupan Nabi SAW.

Ramai penceramah yang memberi syarahan atau kupasan berkaitan hijrah dalam bentuk yang berbeza.

Ada yang menceritakan satu persatu peristiwa hijrah bermula dengan penindasan kepada umat Islam, hijrah ke Habsyah atau konspirasi jahat membunuh Nabi SAW. Selain itu, ada yang menghuraikan berkaitan pengajaran dan iktibar yang boleh dijadikan panduan untuk generasi masa kini.

Kebanyakan ahli sejarah menyatakan tarikh Rasulullah SAW sampai ke kota Madinah adalah pada 12 Rabiul Awal. Perjalanan yang amat bersejarah ini iaitu meninggalkan kota Mekah tempat lahir Nabi SAW dan menjadikan Madinah sebagai tempat kehidupan baharu untuk mengembangkan dakwah Islam.

Jika ditinjau dari awal hingga akhir peristiwa hijrah ini ada beberapa cabaran yang dihadapi dan mukjizat yang berlaku. Banyak kesusahan yang dihadapi dalam hijrah ini kerana pihak musyrikin Quraisy merancang untuk membunuh baginda SAW.

Mereka tahu jika Nabi SAW dapat keluar dari kota Mekah, mereka akan berhadapan kesusahan kerana dakwah Islam menjadi semakin kuat.

Mukjizat pertama yang berlaku dalam peristiwa hijrah ini ialah sekumpulan pemuda yang ditugaskan mengepung rumah Nabi SAW tidak nampak sosok tubuh baginda SAW semasa nabi keluar dari rumahnya. Sedangkan mereka merancang untuk menetak Nabi SAW dengan satu pukulan bahkan Nabi SAW telah meletakkan pasir di atas kepala mereka.

Semasa di Gua Thur, musyrikin Mekah ketika itu telah mencari baginda SAW. Abu Bakar al-Siddiq r.a yang bersama baginda SAW dalam gua tersebut rasa takut dan bimbangkan keselamatan Nabi SAW.

Allah SWT menceritakan peristiwa melalui firman-Nya yang bermaksud: Ketika ia berkata kepada sahabatnya: janganlah engkau berdukacita sesungguhnya Allah bersama kita. Yakin dan percaya kepada Allah adalah kunci kejayaan. (al-Taubah: 40)

Dalam perjalanan hijrah ke Madinah, Nabi SAW singgah di khemah Ummu Ma’bad. Baginda meminta makanan seperti tamar dan lain-lain untuk dibeli. Namun tidak ada makanan yang boleh dijual atau dijamu kepada tetamunya.

Ummu Ma’bad berkata, mereka tidak mempunyai makanan atau minuman kecuali seekor biri-biri yang kurus. Nabi SAW meminta izin untuk mengambil susunya. Lantas Ummu Ma’bad berkata jika ada susu maka silakanlah tuan hamba memerahnya. Dengan izin Allah, tiba-tiba keluar susu daripada kambing yang kurus itu.

Dalam peristiwa lain, Suraqah ibn Malik adalah seorang yang tangkas menunggang kuda pergi mendapatkan Rasulullah SAW kerana mahukan habuan yang tinggi daripada pihak Quraisy Mekah. Habuannya adalah 100 ekor unta jika dapat membawa balik Nabi SAW.

Namun apa yang berlaku, tiga kali percubaan untuk mendapatkan Nabi SAW telah gagal apabila kudanya tiba-tiba terjerumus ke dalam tanah. Akhirnya beliau akur dengan apa yang berlaku dan baginda SAW memaafkannya dan memberi janji bahawa Suraqah akan dipakaikan kalung kebesaran Raja Kisra. Perkara itu berlaku pada pemerintahan khalifah Umar al-Khattab r.a.

Dalam peristiwa hijrah banyak sejarah, cabaran, mukjizat yang berlaku. Ia dimulakan dengan strategi yang teratur dan tersusun bagi menggambarkan bahawa jika muslim hari ini mahukan kejayaan mestilah dimulakan dengan strategi yang baik dan munasabah. Walaupun Nabi SAW mempunyai doa yang mustajab namun baginda tetap mengambil asbab untuk beroleh kejayaan dalam peristiwa hijrah.

Penulis ialah  Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya