Biarlah rahsia saya dengan tuhan- Kilafairy - Utusan Malaysia

Biarlah rahsia saya dengan tuhan- Kilafairy

Kilafairy berharap para peminat mendoakannya agar istiqamah bertudung,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAAT pelakon cantik ini melangkah masuk ke lokasi penggambaran, Ramza Studio, mata setiap yang ada di segenap penjuru terkunci melihatnya. Semuanya terpesona.

Benar, penampilan dia yang dahulu berbeza daripada sekarang. Tidak seperti yang ada dalam memori kita semua. Sudah tiba masa untuk memadam kenangan lama.

Kilafairy kini bertudung! Itu tajuk utama yang menggegarkan industri hiburan tanah air. Malah tular buat seketika hujung Jun lalu. Entah mengapa, keputusan bertudung itu bagaikan satu perkara yang mengejutkan. Peminat bagaikan bersorak riang dengan penghijrahan Kilafairy.

Ditebak dengan soalan itu, anak kepada penyanyi popular era 70-an, Rohana Jalil hanya tergelak. Dia hanya mampu menggelengkan kepala sambil menghadiahkan senyum tawa yang cukup manis.

“Tak tahu kenapa, berita saya bertudung boleh tular. Sedangkan, bertudung itu wajib dan semestinya, saya akan bertudung juga suatu hari nanti. Mungkin bagi mereka terlalu awal.

“Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk bertudung tetapi tidak mahu terlalu drastik. Tetapi semuanya tidak dirancang. Saya bangun pagi dan terus berniat bertudung,” ujar gadis berusia 28 tahun ini.

Gelanggang soalan terus dibuka. Seharusnya bila berbicara tentang penghijrahan bertudung, soalan tentang hidayah yang diterima menjadi pertanyaan utama.

Apa yang membuat pelakon dan juga penyanyi ini membuat keputusan itu? Adakah dia juga didatangi mimpi seperti artis-artis wanita yang lain?

Adakah benar penghijrahannya kerana mahu menamatkan zaman bujang sementelah hubungannya dengan seorang jejaka kacak mula mencetuskan tanda tanya.

Sambil tersenyum, pengasas produk kesihatan, Kilafit yang sedang hangat di pasaran ini cuma mendiamkan diri. Dia seperti belum bersedia untuk berkongsi.

“Sejujurnya agak berat untuk saya bercerita tentang hidayah yang dikurnia tuhan. Cukup sekadar untuk perkongsian bersama keluarga dan rakan terdekat.

“Hidayah itu cukup istimewa. Saya rasa tak perlu saya mencanang. Apa yang berlaku, biarlah antara saya dan tuhan.

“Saya tegaskan, keputusan ini bukan atas sebab sesiapa. Ia kehendak hati sendiri yang didorong tuhan yang Maha Esa,” jelas pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan ini.

Memohon doa semua agar hatinya kekal istiqamah, Kilafairy cuma mengharapkan agar penghijrahan dirinya memberi inspirasi kepada peminat yang selama ini mendoakannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN