Operasi Drawbridge dikendali anak tempatan - Utusan Malaysia

Operasi Drawbridge dikendali anak tempatan

Drawbridge turut dilengkapi hiasan lampu berwarna-warni yang dipasang pada setiap hujung minggu dari 7 malam hingga 12 tengah malam. – UTUSAN/Puqtra Hairry
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tarikh 1 Ogos 2020 menandakan genap setahun mercu tanda ikonik Terengganu, jambatan angkat atau drawbridge dibuka kepada orang ramai. Ia sekali gus membuka lembaran baharu kepada trend kedatangan pelancong ke negeri ini.

Jambatan ala ‘London Bridge’ itu bukan sahaja berjaya menarik pengunjung tempatan dan luar negara berikutan bahagian tengahnya (bascule) boleh diangkat untuk laluan kapal malah turut menjadi tumpuan penggemar fotografi merakamkan panorama indah bandar raya Kuala Terengganu.

Pengurus Operasi Terengganu Drawbridge, Al-Amin Omar berkata, jambatan yang menghubungkan pusat bandar raya dengan Kuala Nerus itu berbeza dengan Tower Bridge di kota London kerana menggunakan sistem teknologi hidraulik canggih berbanding sistem gear.

 

 

 

Katanya, sepanjang ujian pengendalian bascule hingga beroperasi secara rasmi kini, pihaknya tidak berdepan sebarang masalah teknikal kerana setiap proses dikawal selia dengan teliti oleh lapan kakitangan iaitu jurutera hidraulik dan elektrik di samping juruteknik dan operator.

“Pembukaan bascule dalam satu-satu masa memerlukan lapan hingga 10 kakitangan bertugas di lapangan berdasarkan SOP ketat. Antaranya menghentikan kenderaan, menurunkan pagar, menukar warna lampu isyarat di samping memastikan tiada pengunjung di kawasan pejalan kaki.

“Keseluruhan proses itu lazimnya berlaku antara 10 hingga 15 minit kerana melibatkan soal trafik. Bagaimanapun, tempoh bukaan dan tutup bascule masing-masing mengambil hanya dua minit dan paling cepat kita pernah selesaikan dalam tempoh cuma lapan minit,” katanya yang turut serta dalam pasukan penguji setiap komponen silinder dan pam hidraulik selama 10 hari di China sebelum dibawa pulang ke Malaysia untuk pemasangan struktur.

Menurut Al-Amin, kapal yang ingin melalui drawbridge perlu membuat permohonan empat jam lebih awal dan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mei lalu, pihaknya merekodkan sembilan kali bukaan bascule susulan operasi penguatkuasaan di perairan negara yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Kekerapan bukaan bascule bergantung kepada permohonan manakala ketinggian maksimum bukaan adalah sehingga 78 darjah tetapi, lazimnya ia dibuka sekitar 40 darjah bagi kapal dan untuk kapal layar hanya memerlukan bukaan satu bahagian bascule.

“Walaupun kalangan kami tiada pengalaman mengendalikan sistem teknologi hidraulik canggih tetapi pengalaman awal menguruskan operasi itu semasa kita masih di peringkat pemasangan struktur di muara utara bagi memberi laluan kapal dan kapal layar sedikit sebanyak memberi panduan kepada kami semua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Al-Amin berkata, pelbagai kursus dan latihan dirangka dari semasa ke semasa melibatkan 13 kakitangan unit itu yang kebanyakannya adalah anak tempatan. Lapan daripadanya anak Terengganu.

Ia bagi menambah baik dan menyelenggara perkhidmatan di samping bersiap siaga jika berdepan kecemasan termasuk terputus bekalan elektrik.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana jambatan angkat masih boleh beroperasi seperti biasa dengan menggunakan set janakuasa tunggu sedia sementara menunggu bekalan elektrik pulih.

“Kami akan buat yang terbaik dan kami sedar akan berhadapan banyak lagi cabaran di masa depan. Untuk mengekalkan operasi jambatan ini kami perlukan sokongan kerajaan dan orang ramai.

“Kita perlukan kos tinggi untuk kekalkan SOP dan meningkatkan pengetahuan staf kami,” katanya.

 

 

Sementara itu, operator jambatan, Muhammad Murshidi Mazlan mengakui masih teruja menjadi antara dua petugas yang bertanggungjawab mengangkat bascule bagi laluan keluar dan masuk kapal.

Katanya, sebelum bascule diangkat, satu taklimat bersama pasukan akan dijalankan bagi mengenal pasti saiz kapal sekali gus menentukan anggaran tinggi bukaan.

“Pada mulanya memang gementar kerana perlu mengikuti peraturan dan SOP yang ketat tetapi dengan latihan selama dua bulan, alhamdulillah saya boleh mengendalikan proses ini dengan lancar.

“Proses mengangkat bascule memerlukan dua operator bertugas dengan seorang menekan panel manakala seorang lagi bertindak memantau. Sebagai operator, menjadi tanggungjawab kita untuk mengingati setiap urutan proses yang ditetapkan atas faktor keselamatan lalulintas dan kapal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya