fbpx

Setiap manusia dilahirkan muslim

Setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanya yang mencorakkan ia jadi muslim atau sebaliknya. – GAMBAR HIASAN
  • Oleh Media Mulia
  • 29 Julai 2020, 12:06 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERANG BUKAN SERANG

Oleh : Firdaus Wong Wai Hung

Sering kali sebahagian daripada kita akan mengatakan hanya orang Islam sahaja lahir sebagai muslim, manakala bukan Islam lahir bukan muslim.

Mungkin kenyataan yang lebih tepat adalah “lahir dalam keluarga muslim dan lahir dalam keluarga bukan muslim”.

Jika dikatakan seseorang itu lahir sebagai bukan muslim, mengikut perspektif Islam ia bercanggah dengan hadis nabi, apabila nabi menyebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: Setiap bayi yang lahir, dilahirkan di atas fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani. (Sahih Muslim no: 2658)

Fitrah ini bermaksud mereka adalah muslim. Sesuai dengan firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-Rum: 30)

Berdasarkan pada kedua teks ini jelas bahawa fitrah itu adalah sikap Islam itu sendiri dan semua bayi dilahirkan sebagai muslim, tidak kiralah ibu bapa mereka itu beragama apa sekali pun. Akan tetapi apabila mereka membesar, persekitaran mengubah dan mempengaruhi individu membelakangi fitrah itu.

Fitrah adalah kejadian asal yang Allah telah bentukkan di dalam diri manusia. Sebagai contoh, fitrah percaya kepada Tuhan adalah kepercayaan yang ditetapkan di dalam diri kanak-kanak.

Prof. Deborah Kelemen, seorang pensyarah Psikologi dan Sains Otak mengemukakan hasil kajian bahawa kanak-kanak yang bersih daripada sebarang pengaruh ideologi luar, mereka akan percaya kepada kewujudan tuhan yang Maha Mencipta.

Wujudnya golongan ateis yang menentang kewujudan tuhan dan fitrah itu merupakan ideologi yang mempengaruhi emosi dan intelektual sehingga mereka membenamkan fitrah asal mereka untuk melestarikan emosi dan intelektual mereka menguasai kehendak dirinya.

Adapun kebanyakan pengikut agama-agama lain pula adalah hasil ikutan dan didikan keluarga mereka. Ia hasil pengaruh dan pembentukan spiritual dan doktrin yang diisi dari masa ke masa sehingga kanak-kanak tersebut menyambung tradisi kepercayaan tersebut.

Ini sesuai dengan maksud hadis di atas bahawa kanak-kanak akan dicorakkan oleh ibu bapa mereka sehingga menjadi Yahudi, Majusi, dan Nasrani.

Kesimpulan

Mengikut kefahaman Islam, semua manusia lahir dalam keadaan fitrah. Iaitu dengan keadaan yang murni dan muslim. Sebab itu dalam ajaran Islam yang merupakan agama fitrah tidak ada sesuatu pun syariat yang bercanggah dengan fitrah manusia.

Islam menggalakkan penganutnya berkahwin, mewajibkan menutup aurat, melarang berbuat jahat dan melarang melakukan perbuatan menjijikkan seperti homoseksual dan sebagainya. Ia terlalu banyak untuk disenaraikan.

Pendek kata ia adalah ajaran yang meruntuhkan fitrah manusia.

Oleh itu, bagi sesiapa yang belum muslim dan akhirnya memeluk Islam setelah usia dewasanya, para pendakwah sinonimkan dengan panggilan revert yang bermaksud ‘kembali’ yakni kembali kepada fitrah asalnya yang dilahirkan sebagai muslim.

Dikemaskini pada

BERITA BERKAITAN