KUALA TERENGGANU: Atlet kontinjen Terengganu termasuk dua peserta wanita Muslim dalam acara terjun yang memenangi pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, baru-baru ini, dijangka menerima bayaran insentif daripada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, kerajaan negeri belum membuat keputusan mengenai jumlah bayaran insentif itu kerana masih menunggu laporan pencapaian atlet negeri itu pada sukan tersebut.
Menurutnya, pihaknya juga akan menentukan bayaran insentif kepada dua atlet wanita dalam acara terjun itu yang dihantar tanpa melalui kerajaan negeri.
“(Bayaran insentif) termasuk yang menghantar secara tanpa melalui kerajaan negeri, kita akan buat keputusan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Pembersihan Pantai Batu Buruk sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung penyertaan dua atlet terjun wanita Muslim yang mewakili Terengganu kerana bercanggah dengan kod etika pemakaian atlet Muslim ketika bersukan yang ditetapkan kerajaan negeri itu.
Dua atlet wanita Muslim dalam acara terjun, Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran memenangi dua pingat gangsa iaitu dalam kategori 10 meter platform seirama.
Malah Uzlifatil Jannah bersama rakan pasangannya, Muizuddin Mohd. Asri turut memenangi pingat gangsa bagi acara 3 meter papan anjal seirama campuran selepas mengumpul 201.81 mata.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim dilaporkan berkata, penyertaan dua atlet tersebut dibuat Persatuan Renang Amatur Terengganu tanpa pengetahuan dan kebenaran daripada kerajaan negeri.
Pada Sukma 2024 di Sarawak itu, Terengganu secara keseluruhan membawa pulang 14 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa dengan kedudukan tempat kelima dalam carta pungutan pingat.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri memberitahu, kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan untuk melaksanakan pelan strategi bagi menambah baik sukan tersebut untuk mencapai sasaran menjuarai Sukma dua tahun lagi.
“Namun, apa yang paling penting adalah untuk melaksanakan pelan strategi yang lebih kemas supaya dua tahun lagi kita akan tambah baik keadaan kita, (yang) tentulah sasaran kita untuk jadi juara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN










