fbpx

25 Februari 2021, 4:24 pm

Ariff Bahran tidak mahu berpura-pura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGENALI penyanyi Kata Akhirmu ini, Ariff Bahran bukan anak muda yang sanggup melakukan kontroversi murahan demi mengejar populariti. Biarpun adakala dia dicop sombong, namun begitulah peribadi Ariff yang lebih senang menjadi diri sendiri.

ARIFF BAHRAN

Lebih banyak mendiamkan diri, ada juga kerisauan sekiranya ingatan peminat makin pudar terhadap dirinya. Sementelah, kehadiran pendatang baharu silih berganti membuatkan kedudukan artis muda sukar dijangka.

“Kalau tidak ada apa-apa yang mahu dikongsi, saya tidak suka mengada-adakan cerita semata-mata memancing perhatian peminat. Lebih baik saya fokus mencari idea buat lagu daripada memikirkan bagaimana nak cipta kontroversi.

“Saya tidak akan menjadi orang lain. Memang ada orang cakap saya sombong dan tidak mesra, namun siapa yang mengenali diri saya pasti akan jawab yang berbeza. Saya ada perancangan sendiri dan selesa cara saya,” katanya.

Menghargai peminat dengan cara sendiri, Ariff merencana untuk mengeluarkan album penuh tidak lama lagi. Namun, dia harus terus mengkaji trend muzik terkini yang berubah saban hari.

Melihat percaturan rakan penyanyi muda yang lain, penyanyi Bicara Rasa ini berbangga dengan pencapaian mereka yang semakin menyinar di pentas seni. Dia juga sedang berusaha untuk terus mendaki gunung impiannya.

“Saya sudah ada beberapa lagu dalam simpanan, cuma belum tiba waktu sesuai untuk kita dengarkan. Saya tidak mahu tergopoh-gapah melancarkan banyak single sekaligus namun tidak dapat sambutan peminat.

“Kita tak boleh ikut orang. Masing-masing ada kekuatan dan rezeki masing-masing. Kejayaan yang diraih rakan-rakan penyanyi muda seharusnya dibanggakan dan dijadikan satu motivasi untuk semua termasuk saya supaya terus berusaha.

Tiga tahun dalam industri seni, Ariff mengakui dirinya juga pernah berdepan saat tertekan dan penat dengan ujian dunia seni. Dalam usia yang cukup muda, jiwanya sedikit rapuh dan penuh dengan darah muda yang membuak-buak.

“Rasa penat itu mesti ada. Kita baru mula mahu bertapak, jadi saat itu kita kena kerja lebih keras. Pernah juga tertekan namun tidak pernah saya terfikir untuk meninggalkan kerjaya seni yang menjadi sumber periuk nasi saya.

“Namun, tak pernah sekali saya merasakan industri ini kejam. Biasalah, mana ada kerja senang.

“Kita kena kerja keras dan semestinya akan ada segelintir mereka yang tidak suka dengan apa yang kita buat. Mana boleh paksa orang suka kita kan?” katanya sambil ketawa kecil. – UTUSAN