LAHIRNYA Persatuan Penulis Negeri Melaka (Penama) selepas peristiwa 13 Mei 1969 adalah hasil perjuangan dan semangat nasionalisme serta kesedaran dalam kalangan beberapa penulis, wartawan dan penyair di Melaka.
Penama yang menjangkau usia 50 tahun penubuhannya tahun lalu, tetap teguh apa lagi diterajui tokoh pemimpin berwibawa bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Melaka, Datuk Othman Muhamad.
Ia bermula ekoran peristiwa 13 Mei 1969 yang terus terpahat di benak fikiran seluruh rakyat negara ini. Tercetuslah idea untuk menyatukan pelbagai kaum dalam kalangan wartawan, penulis dan penyair untuk menubuhkan satu persatuan diberi nama Penama.
Cetusan idea ini lahir di rumah Allahyarham Salim Kasim di Bukit Cina apabila satu jawatankuasa penaja ditubuhkan dengan penyair, Sabtu Manap (Noor S,M) dilantik sebagai Ketua Satu, wartawan Sin Chew Jit Poh, Kou Yok Ling dilantik sebagai Ketua Dua, Allahyarham Md. Shukor Jantan sebagai Setiausaha Dua dan Allahyarham Ahmad Taib sebagai Bendahari.
Bagaimanapun, proses penubuhan Penama tidak dapat dibuat kerana ketika itu negara di bawah pentadbiran Majlis Gerakan Negara (Mageran).
Akhirnya, Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan penubuhan Penama pada 13 Oktober 1970 iaitu pada tahun yang sama juga tertubuhnya Jabatan Perpaduan Negara dan terciptanya Rukun Negara.
Penama telah mengorak langkah menganjurkan pelbagai program yang melibatkan pelbagai kaum.
Dalam Mesyuarat Agung pada 1974, jawatan Setiausaha Satu diamanahkan kepada Othman. Sejak itu, Penama kembali aktif dengan menganjurkan pelbagai program antara pembacaan Puisi, Sayembara Puisi, Malam 13 Bintang dan program hujung minggu di Bukit Saint Paul.
Antara tokoh yang memainkan peranan ketika itu ialah Mohd Raus Sam, Pakir Mohamad Abdullah, Samsuri Majid dan Arshad Ami. Pada tahun 1979, Profesor Datuk Dr. Sidek Baba dilantik sebagai Ketua Satu manakala Othman dilantik sebagai Ketua Dua.
Apabila Sidek berpindah ke Institut Aminuddin Baki pada tahun 1982, Othman yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dipilih memegang jawatan sebagai Ketua Satu sehingga sekarang.
Pada 1995, Penama menyambut Jubli Perak yang dihadiri bekas Ketua Menteri, Allahyarham Datuk Md. Zin Ghani yang melancarkan antologi Simfoni Kasih karya Othman serta beberapa lagi antologi terbitan Penama.
Penama terus bergiat cergas dengan tenaga tenaga baru seperti Ahmad Zauawi Che kop, Mohd Musip, Sahban Md. Semail, Zaini Mohamad dan ramai lagi dalam menghasilkan banyak antologi.
Dalam pada itu, Penama turut menubuhkan kumpulan Seri Kandi Penama yang diketuai oleh Datin Halimah Baba bersama-sama Zainab Md Noor, Nurliza Karim, Faridah Junus dan ramai lagi.
Antara tokoh lain yang terus aktif menghasilkan pelbagai karya antaranya ialah Md. Yusof Md. Yatim, Amirudin Zaki, Hassan Md. Noor dan Rahim Rauf.
Lebih bermakna Penama mengadakan sambutan Jubli Emas pada akhir Disember lalu dengan kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Negeri Melaka dan Perpustakaan Awam Negeri Melaka.
Majlis gilang gemilang itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd Rustam dan Toh Puan Asmah Ab. Rahman, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohmad Ali Mohamad dan wakil Ketua Menteri, Datuk Latipah Omar.
Pada majlis tersebut, Mohd. Ali turut melancarkan buku Sejarah Perpustakaan Melaka, enam buah buku terbitan Penama dan 10 buku karya Sidek Baba.
Sepanjang tempoh 50 tahun penubuhan PENAMA, mereka telah berjaya melahirkan ramai tokoh penyair tersohor di negara ini apabila ramai dinobatkan selaku Juara Sayembara Puisi Peringkat Negeri dan Negara seperti Fairuzan Majid, Kamarudin Bakar, Norliza Md. Yamin, Shahrul Mubarak, Aflieza Arshad dan ramai lagi.










