KUALA LUMPUR :Sempena ulang tahun ke 20, jenama fesyen Rizman Ruzaini, membuka lembaran baharu dalam perniagaan mereka dengan pelancaran butik pertama RR by Rizman Ruzaini yang terletak di pusat membeli belah terkenal negara Suria KLCC.
Melihat ini langkah awal untuk jenama ini mendapat perhatian dari penggemar fesyen seluruh dunia, menurut Rizman sudah sampai waktunya untuk perniagaan miliknya ini melangkah pada tahap berbeza.
“Alhamdulillah, selepas 20 tahun bergelar pereka dan usahawan, akhirnya impian kami untuk memiliki butik di KLCC tercapai. Ia bukan perjalanan yang mudah memandangkan kejayaan ini datang dengan cabaran,”
“KLCC merupakan lokasi yang dikunjungi pelancong luar negara ketika di Malaysia, jadi bila kita perkenalkan ini merupakan jenama tempatan secara tidak langsung mereka mengaguminya,” katanya.
Rizman turut menjelaskan bahawa butik di KLCC ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada jenama RR by Rizman Ruzaini, berbeza dengan butik mereka di yang terletak di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.
“Butik di KLCC ini khusus untuk jenama RR by Rizman Ruzaini jenama kedua kami yang berkonsepkan rekaan mewah mampu milik.
‘Kami mahu pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah eksklusif, tetapi dengan harga yang masih berpatutan dan kualiti yang tinggi,” jelas Rizman lagi.
Mengambil contoh jenama pakaian antarabangsa yang kini mendominasi pusat membeli belah negara, jelasnya pembukaan butik ini juga menjadi strategi jangka panjang buat mereka untuk kekal relevan.
“Kami belajar daripada jenama antarabangsa tentang pentingnya model perniagaan yang kukuh dan versatil.
‘Impian terbesar kami juga mahu RR by Rizman Ruzaini menjadi jenama tempatan yang berdiri sama tinggi dengan nama besar dunia,” tambahnya.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan di pasaran Asia, RR by Rizman Ruzaini turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Modernity Group dari Indonesia.
“Kerjasama ini membuka peluang untuk kami berkembang ke pasaran serantau secara lebih tersusun. Ia juga membantu kami membina sistem operasi berstruktur dan selaras dengan piawaian global,” jelas Rizman.