Proton e.MAS 7 PHEV tawar gabungan teknologi hibrid dan harga kompetitif

Proton e.MAS 7 PHEV tawar gabungan teknologi hibrid dan harga kompetitif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MODEL Plug-in Hybrid (PHEV) terbaharu daripada Proton Holdings, iaitu Proton e.MAS 7 PHEV, menampilkan potensi menarik dalam segmen SUV apabila diuji dalam perjalanan jarak jauh melebihi 500 kilometer merentasi Semenanjung Malaysia sehingga ke Pulau Langkawi.

Sesi pandu uji media yang dianjurkan oleh PRO-NET itu bermula di Proton Centre of Excellence di Subang Jaya sebelum konvoi media bergerak ke Jeti Kuala Perlis dan seterusnya menaiki kapal RORO menuju ke pulau peranginan tersebut.

Perjalanan jarak jauh ini membolehkan pengamal media menilai prestasi sebenar SUV tersebut dalam pelbagai keadaan pemanduan termasuk lebuh raya, laluan bandar dan jalan berselekoh.

Harga kompetitif dalam segmen SUV

Dalam pasaran Malaysia yang semakin kompetitif, segmen SUV kekal menjadi pilihan utama pengguna kerana menawarkan gabungan ruang, keselesaan serta praktikaliti untuk kegunaan harian.

Dalam konteks itu, Proton e.MAS 7 PHEV hadir dengan harga yang dilihat kompetitif, bermula sekitar RM106,000 hingga RM126,000 bergantung kepada varian.

Pada harga tersebut, pengguna bukan sahaja memperoleh sebuah SUV segmen-C yang sesuai untuk kegunaan keluarga, malah turut menikmati teknologi trenkuasa Plug-in Hybrid, sistem bantuan pemanduan moden serta pelbagai ciri keselamatan dan keselesaan yang lazimnya terdapat pada model lebih mahal.

 

 

Trenkuasa hibrid fokus kecekapan tenaga

Antara kekuatan utama model ini ialah sistem trenkuasa Plug-in Hybrid yang menggabungkan enjin pembakaran dalaman dengan motor elektrik bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.

SUV ini menawarkan tiga mod pemanduan utama iaitu EV Mode, Hybrid Mode dan Power Mode.

Dalam EV Mode, kenderaan mampu bergerak sehingga kira-kira 100 kilometer menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, satu jarak yang mencukupi untuk kebanyakan perjalanan harian seperti ulang-alik ke tempat kerja atau urusan bandar.

Apabila beroperasi dalam Hybrid Mode, gabungan enjin dan motor elektrik membolehkan jarak perjalanan keseluruhan mencecah lebih 800 kilometer, sekali gus sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

Sistem regenerative braking turut membantu mengecas semula bateri ketika membrek atau memperlahankan kenderaan, sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga.

Pengalaman pemanduan seimbang

Dari segi pengalaman pemanduan, Proton e.MAS 7 PHEV memberikan karakter yang hampir menyerupai kenderaan elektrik penuh terutama ketika bergerak dalam mod elektrik.

Pemanduan terasa lebih lancar dan senyap, sekali gus mewujudkan suasana pemanduan yang lebih selesa terutama ketika memandu dalam bandar atau perjalanan jarak jauh.

Talaan stereng pula dilihat seimbang dengan tahap kestabilan yang baik, manakala body roll ketika melalui selekoh masih terkawal bagi sebuah SUV dalam segmen ini.

Teknologi moden dan ciri gaya hidup

SUV ini turut dilengkapi pelbagai teknologi yang menyokong gaya hidup moden pengguna.

Antara yang menonjol ialah skrin infotainmen bersaiz besar dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto yang memudahkan akses navigasi, muzik serta aplikasi telefon pintar.

Selain itu, sistem kenderaan turut menyediakan kompas arah kiblat, satu ciri unik yang jarang ditemui pada kebanyakan kenderaan.

Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) juga membolehkan kenderaan membekalkan kuasa elektrik kepada peralatan luaran seperti lampu, peralatan memasak atau pengecas peranti ketika aktiviti luar.

Dari aspek keselamatan pula, model ini dilengkapi kamera 360 darjah serta sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) bagi membantu meningkatkan keselamatan pemanduan.

Praktikal untuk kegunaan keluarga

Sebagai SUV keluarga, Proton e.MAS 7 PHEV turut memberi perhatian kepada aspek ruang kabin dan keselesaan penumpang.

Dengan jarak roda 2,755 mm, ruang tempat duduk belakang terasa lebih luas manakala lantai kabin yang rata memberikan fleksibiliti ruang kaki kepada penumpang.

Model ini turut dilengkapi kemudahan seperti wireless charging pad dan ventilated seats bagi varian Premium serta Premium Plus untuk meningkatkan keselesaan dalam cuaca panas.

Tiga varian ditawarkan

Untuk pasaran Malaysia, Proton e.MAS 7 PHEV ditawarkan dalam tiga varian iaitu:

  • Prime – dari RM106,000

  • Premium – dari RM116,000

  • Premium Plus – dari RM126,000

Secara keseluruhannya, model ini dilihat menawarkan gabungan teknologi hibrid, keselesaan pemanduan dan praktikaliti yang sesuai untuk pengguna yang mahukan SUV keluarga lebih efisien tanpa perlu beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik.

Selepas perjalanan lebih 500 kilometer dari Subang Jaya ke Pulau Langkawi, model ini menunjukkan potensi sebagai salah satu pilihan kompetitif dalam segmen SUV hibrid di pasaran tempatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN