Tourism Johor giat promosi kepada warga Singapura - Utusan Malaysia

Tourism Johor giat promosi kepada warga Singapura

SHARIL NIZAM Abdul Rahim (kiri) bergambar dengan pemandu pelancong yang menghadiri Majlis Perasmian CBD Heritage Waik di Legaràn Segget, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tourism Johor akan terus menggiatkan promosi kepada warga Singapura bagi memastikan negeri ini bukan hanya menjadi laluan atau lokasi berbelanja semata-mata, sebaliknya sebagai destinasi pelancongan utama mereka.

Pengarahnya, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, pihaknya mempunyai beberapa inisiatif yang dilaksanakan bagi menjayakan usaha tersebut,  termasuk menyediakan pakej pelancongan menarik yang digemari pelancong dari republik berkenaan.

“Mungkin ada pihak kata warga Singapura hanya menjadikan Johor sebagai hentian atau laluan mereka ke lokasi lain, atau hanya berbelanja di sini, namun kita ada inisiatif agar mereka berhenti dan menginap di negeri ini.

“Antaranya, menerusi usaha pemuliharaan bangunan-bangunan ikonik di negeri ini serta penyusunan jadual pakej percutian yang menarik bagi mereka. Jadi, pelancong yang mengikuti pakej berkenaan akan bermalam di negeri ini,” katanya selepas merasmikan Central Business District (CBD) Heritage Walk di Legaran Segget, di sini hari ini.

Sharil Nizam berkata, kejatuhan nilai ringgit berbanding matawang Singapura ketika ini perlu dilihat daripada aspek positif, khususnya bagi sektor pelancongan negeri ini.

“Kita perlu jadikan perkara itu (kejatuhan ringgit) sebagai kelebihan dan gunakan keadaan tersebut sebaik mungkin. Kita boleh lakukan lebih banyak promosi di peringkat antarabangsa dan menarik kehadiran pelancong dengan pakej percutian menarik.

“Jadi, kita akan dapat terima kehadiran lebih ramai pelancong, salah satu sektor pelancongan yang boleh dipromosi adalah pelancongan kesihatan. Pada waktu ini majoriti pelancong kesihatan yang datang ke Johor adalah warga Indonesia, mungkin kita juga boleh tarik pelancong Singapura dalam sektor ini.

“Terdapat banyak pakar perubatan di hospital-hospital negeri ini yang bertaraf antarabangsa. Jadi, dengan kejatuhan ringgit pastinya akan menjadi tarikan tambahan bagi mereka mendapatkan rawatan di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN