LLM kenal pasti 63 lokasi hab pengecasan pantas EV

LLM kenal pasti 63 lokasi hab pengecasan pantas EV

ALEXANDER Nanta Linggi (tiga dari kanan) mengecas kereta elektrik menggunakan TNB Electron di R&R Ayer Keroh arah Utara, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenal pasti 63 lokasi hab pengecas pantas kenderaan elektrik (EV) DC di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian terpilih di lebuh raya bertol di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya turut menyasarkan 20 pengecas pantas EV DC akan dibangunkan oleh pelbagai pengendali titik pengecasan (CPO) di sepanjang Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tahun ini.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 22 pengecas pantas EV DC telah beroperasi di seluruh lebuh raya antaranya di R&R Ayer Keroh arah Utara, R&R Tapah arah Utara dan R&R Paka di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).

“Kementerian telah memberi beberapa kelulusan di lebuh raya sekitar Lembah Klang dan terdapat 45 lagi permohonan pembangunan hab pengecas pantas EV dalam semakan dan bakal diluluskan.

“Ini adalah langkah ke depan kita dalam mencapai jejak karbon yang rendah yang mana selari dengan aspirasi kerajaan dalam mencapai Negara Rendah Karbon menjelang 2040. Kita komited untuk membangunkan infrastruktur pengecasan pantas bagi meningkatkan penggunaan EV dalam negara.

“Saya difahamkan buat masa ini terdapat sehingga 4,000 EV menggunakan kemudahan ini. Kita menyasarkan sebanyak 15 peratus daripada jumlah kenderaan di lebuh raya pada 2030 adalah EV,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kemudahan Pengecasan Berkelajuan Tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Electron di R&R Ayer Keroh arah Utara di sini, semalam.

Dalam pada itu, mengenai pengecasan pantas EV DC TNB Electron, Alexander memberitahu, pengguna dapat menikmati kemudahan itu secara percuma sehingga hujung bulan ini.

Katanya, tawaran itu melibatkan tiga projek perintis pertama iaitu di R&R Ayer Keroh arah Utara, R&R Tapah arah Utara dan R&R Paka arah Utara.

“Tahniah kepada LLM dan syarikat pengendali lebuh raya atas komitmen dan sokongan yang telah dan akan diberikan dalam menyahut aspirasi kerajaan mencapai negara rendah karbon,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.