PETALING JAYA: ATLAS Vending, penyedia mesin layan diri terkemuka di Malaysia sekali lagi melakar sejarah dengan pelancaran inovasi terbaharu iaitu mesin layan diri non-fungible token (NFT) yang pertama seumpamanya.
Sempena perayaan Hari Malaysia minggu lalu, ATLAS mengambil peluang mencipta platform untuk 13 artis NFT tempatan dengan mempamerkan karya seni masing-masing yang menggabungkan seni dan budaya tempatan.
Sambutan yang luar biasa diterima dengan kehadiran ratusan pengunjung di REXKL untuk mendapatkan NFT eksklusif itu.
Bagi menggalakkan penyertaan orang ramai, sebanyak 13 mesin layan diri telah ditempatkan di REXKL dan mewakili setiap negeri di Malaysia dan artis NFT yang berasal dari negeri tersebut.
Pengurus Kanan Pemasaran dan Jualan Sampingan ATLAS Vending, Kalithasan Sothinathan berkata, selepas kejayaan mereka dalam kempen Sapot SME tahun lepas untuk membantu pemulihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), ATLAS kini menyasarkan menjana ekonomi melalui seni dan budaya dengan mewujudkan platform yang memudahkan akses kepada karya seni artis tempatan sambil memberikan kepada mereka pengiktirafan yang sepatutnya.
Ujarnya, sebagai penyedia mesin layan diri, pihaknya komited untuk mengujakan pelanggan kami dengan kreativiti dan inovasi terbaharu untuk memenuhi keperluan mereka yang semakin berkembang.
“Populariti NFT telah melonjak naik kebelakangan ini dan ia telah merevolusikan sektor blockchain. Oleh itu, kami mahu membawa kesemua 13 artis NFT tempatan bersama-sama kami untuk menarik perhatian rakyat Malaysia kepada NFT.
“Inisiatif ini juga bertujuan untuk memartabatkan artis tempatan melalui model perkongsian keuntungan di mana jumlah jualan yang dijana oleh NFT ini akan dikongsi di kalangan semua artis yang terlibat dalam projek ini.
“Mesin layan diri biasanya direka untuk mengeluarkan minuman. Inisiatif terbaharu kami membuktikan usaha kami melampaui norma biasa. Fleksibiliti ATLAS membolehkan orang ramai menikmati pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan kerana kami tidak putus berusaha untuk memenuhi keperluan unik pelanggan kami,” katanya.
Mesin layan diri itu akan tersedia dari 16 September hingga 16 Disember 2022 dan setiap mesin layan diri akan mengandungi sebanyak 300 karya seni NFT di mana 50 daripadanya adalah NFT platinum eksklusif yang akan diedarkan secara rawak.
Sempena sambutan Hari Malaysia ke-59 Jumaat lalu, setiap NFT boleh didapati dengan hanya RM59 melalui pembayaran nirtunai (bukan tunai).
Selain itu, mereka yang membeli NFT ini akan berpeluang memenangi beberapa ganjaran menarik daripada 59 pilihan hadiah yang akan diedarkan secara rawak, termasuk 13 Nintendo Switch dan 46 hadiah barangan edisi terhad.
Semua pemenang akan diumumkan pada 9 Disember 2022 di REXKL ketika majlis penyampaian hadiah ATLAS yang akan disertai barisan artis NFT. – UTUSAN










