Nippon Koei pemegang saham strategik ASAP Mobility

Nippon Koei pemegang saham strategik ASAP Mobility

ANIKET MUKHOPADHYAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ASAP Mobility Sdn. Bhd. (ASAP Mobility), berjaya menarik syarikat Jepun, Nippon Koei Co. Ltd. (Nippon Koei) untuk menjadi pemegang saham strategiknya.

Bagi tujuan itu, Nippon Koei telah menandatangani perjanjian untuk memperoleh pegangan majoriti dalam ASAP Mobility, sebagai sebahagian daripada langkah pengembangannya ke Malaysia dan pasaran serantau.

Susulan pemeteraian perjanjian berkenaan, ASAP Mobility yang berpejabat di Shah Alam, telah menjadi anak syarikat Nippon Koei, jelas syarikat itu dalam kenyataan.

Jelasnya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASAP Mobility, Aniket Mukhopadhyay akan terus menerajui syarikat sebagai CEO selepas perjanjian urusniaga dengan Nippon Koei dilaksanakan.

Mukhopadhyay dalam pada itu berkata, syarikat mengalu-alukan kemasukan Nippon Koei sebagai pemegang saham strategik.

Kata beliau, urusniaga itu bukan sahaja akan memanfaatkan ASAP Mobility dari segi membantu memantapkan lagi kapasiti dan meningkatkan rantaian nilai, tetapi juga membawa nilai yang lebih tinggi kepada pelanggan.

“Kami juga amat percaya ia akan memberi manfaat kepada Malaysia secara amnya, kerana ia akan membolehkan kami mengembangkan eksport perkhidmatan kami, dan dengan itu, bakat dan kepakaran tempatan kami akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mengendalikan projek antarabangsa dan memperoleh pengalaman berharga,” katanya.

Sementara itu, Wakil Pngarah dan Presiden Nippon Koei, Hiroaki Shinya pula berkata, syarikat amat berbesar hati mendapat peluang melabur dalam ASAP Mobility.

“Dengan kedudukan utama ASAP Mobility di Malaysia dan pengalaman luas dalam projek antarabangsa, kami percaya ia sesuai untuk Nippon Koei sebagai rakan kongsi yang baik dan firma sasaran pelaburan untuk mempercepatkan pengembangan perniagaan kami di Malaysia dan rantau ini secara keseluruhannya,” katanya.

Tumpuan ASAP Mobility adalah dalam sistem pengangkutan awam. Ia secara aktif te;ah memberikan perkhidmatan kejuruteraan sistem dan perundingan kepada pelanggan dalam beberapa projek pengangkutan awam utama di Malaysia seperti Sistem Transit Aliran Ringan Shah Alam (dari Bandar Utama ke Johan Setia, “LRT 3”), Sistem Transit Bandar Kuching (“KUTS”) dan Johor Bahru – Singapore Rapid Transit System (“RTS Link”).

ASAP Mobility juga telah melaksanakan tugasan perundingan projek-projek di luar negara antaranya LRT Laluan Jakarta Kelapa Gading ke Velodrome, LRT Palembang, Sambungan Rel Komuter Utara-Selatan Manila (NSCR-Ex), Kereta Bawah Tanah Metro Manila, Metro Chennai, Bengaluru Metro, dan beberapa projek aliran utama Sistem Kawalan Kereta Api Eropah Tahap 2 (ETCS L2) di Hungary, serta beberapa kerja perundingan di Thailand, Mesir, Switzerland dan Botswana.

Nippon Koei pula adalah syarikat gergasi Jepun yang menyediakan perkhidmatan perundingan dalam sektor pengangkutan, tenaga dan alam sekitar kepada pelanggan di seluruh dunia.

Syarikat tersebut disenaraikan di Bursa Saham Tokyo dengan permodalan pasarannya adalah JPY52.18 bilion (kira-kira RM1.74 bilion) pada akhir Julai 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN