PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad mencatatkan prestasi cemerlang bagi separuh pertama 2022 dengan mencapai jualan hartanah baharu bernilai RM1bilion.
Kumpulan merekodkan jualan RM550 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022, iaitu jualan suku tahunan dan separuh tahun tertinggi sejak 2017.
Hasil Mah Sing untuk suku kedua 2022 meningkat 23 peratus kepada RM542 juta, menghasilkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM59.8 juta, lebih tinggi berbanding hasil sebanyak RM438.7 juta dan PBT sebanyak RM58 juta dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, hasil kumpulan meningkat 14 peratus kepada RM975.2 juta berbanding RM852 juta setahun lalu.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, prestasi kukuh itu sebahagian besarnya dipacu momentum pemulihan yang didorong oleh pembukaan semula sempadan.
Ujarnya, ia turut didorong pelancaran rumah baharu mampu milik di M Senyum, Salak Tinggi dan Meridin Timur, Johor Bahru, selain kadar pengambilan memberangsangkan projek lain yang sedang dijalankan seperti M Vertica di Cheras, M Arisa di Setapak, M Luna di Kepong, M
Oscar di Sri Petaling, M Adora di Wangsa Melawati, M Aruna di Rawang, Southville City di KL South serta Meridin East di Johor.
“Inventori yang telah siap daripada Southbay City dan Ferringhi Residence di Pulau Pinang serta Sierra Perdana, Meridin @ Medini dan Mah Sing i-Parc di Johor turut menyumbang kepada prestasi cemerlang ini.
“Peralihan strategik dengan tumpuan lebih besar kepada pembangunan mampu milik M Series terbukti langkah berkesan dan tepat pada waktunya bagi memastikan prestasi stabil kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Siri M mampu milik membawa DNA lokasi perdana dengan pasaran yang besar, akses mudah kepada pelbagai kemudahan, sambungan, infrastruktur telah tersedia dan ciri-ciri reka bentuk menarik.
Mah Sing secara aktif membangunkan tanah bagi siri pembangunan hartanah sedemikian dalam usahanya menampung permintaan pasaran semasa.
Selepas mencatatkan kadar pengambilan 98 peratus bagi M Luna di Kepong, Mah Sing membuka galeri jualan M Nova di Taman Wahyu, Kepong pada Jun lalu untuk mengekalkan momentum jualan.
Pelancaran akan datang termasuk M Astra (kediaman bertingkat tinggi daripada RM399,000) di Setapak, M Panora (kediaman bertanah daripada RM635,000) di Rawang, Fasa 2 dan 3 M Senyum (kediaman bertanah daripada RM495,000) di Salak Tinggi serta fasa baharu rumah dua tingkat Meridin East (kediaman bertanah daripada RM425,000) di Johor Bahru.
Dengan jualan hartanah baharu RM1 bilion telah diperoleh, Mah Sing berada dalam landasan untuk mencapai sasaran jualan tahun ini sebanyak RM2 bilion.
Bagi tempoh enam bulan pertama juga, segmen pembangunan hartanah mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM148.1 juta dengan hasil sebanyak RM746.2 juta, iaitu 20 peratus dan 14 peratus lebih tinggi daripada keuntungan operasi dan hasil yang dicatatkan tahun lalu.
Jualan hartanah yang lebih tinggi dan pengiktirafan hasil projek hartanah di bawah pembinaan, serta penyiapan kos pembinaan untuk kontrak pembinaan tertentu, memacu hasil yang lebih tinggi dan keuntungan operasi. – UTUSAN









