PETALING JAYA: Syarikat penarafan, RAM Ratings memberikan penarafan jangka panjang sukuk YTL Power International (YTL Power) berikutan perkembangan positif dalam aliran tunai yang stabil serta pengurusan kewangan berdisiplin.
Malah, YTL Power diberi unjuran stabil khususnya dalam memperkukuh keyakinan pelabur terhadap instrumen hutang berkualiti tinggi.
RAM Ratings dalam kenyataannya berkata, peningkatan penarafan kepada ‘AAA’ itu turut didorong oleh prestasi operasi dan kewangan teras syarikat tersebut yang semakin kukuh.
“Penarafan lebih tinggi itu mencerminkan profil kewangan YTL Power yang semakin mengukuh, selain tahap kecairan dan fleksibiliti kewangan yang sangat baik,” katanya.
Malah, kenyataan itu turut syarikat utiliti itu menunjukkan pertumbuhan yang kukuh berdasarkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (OPBDIT) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia menunjukkan daya tahan syarikat dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
“Prestasi operasi yang konsisten memberi sokongan kukuh kepada keupayaan YTL Power memenuhi obligasi kewangan jangka panjangnya,” ujarnya.
Justeru, penarafan tersebut dijangka memberi kesan positif kepada kos pembiayaan korporat, sekali gus meningkatkan daya tarikan pasaran bon dan sukuk Malaysia kepada pelabur institusi tempatan serta asing yang mencari instrumen pelaburan berisiko rendah.
RAM Ratings turut menyatakan keyakinan terhadap hala tuju strategik YTL Power, termasuk pengembangan dalam sektor berkaitan teknologi dan infrastruktur digital yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan hasil mampan pada masa hadapan.
Secara keseluruhan, peningkatan penarafan ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan asas syarikat itu, malah mengukuhkan kedudukan pasaran modal Malaysia sebagai destinasi pembiayaan yang stabil dan berdaya saing dalam landskap ekonomi serantau. – UTUSAN








