Kerugian Sapura Energy mengecil kepada RM508.66 juta - Utusan Malaysia

Kerugian Sapura Energy mengecil kepada RM508.66 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerugian bersih Sapura Energy Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 mengecil dengan ketara kepada RM508.66 juta daripada RM3.16 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, disebabkan peruntukan rosot nilai yang lebih rendah.

Pada tahun semasa, kumpulan tidak membuat peruntukan untuk penjejasan nilai muhibah pada penyatuan, tetapi membuat peruntukan untuk penjejasan nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan sebanyak RM25.8 juta.

Syarikat itu mencatatkan perolehan yang lebih rendah sebanyak 6.5 peratus kepada RM4.26 bilion daripada RM4.55 bilion sebelumnya, hasil daripada pendapatan yang lebih rendah yang dicatatkan oleh segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C).

Bagi suku keempat 2024, syarikat itu mengurangkan kerugian kepada RM728.44 juta daripada RM3.26 bilion, manakala hasil merosot kepada RM1.06 bilion daripada RM1.22 bilion pada suku yang sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Anuar Taib berkata, kumpulan komited terhadap pemulihan operasinya dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan, meningkatkan hubungan pelanggan dan memupuk kerjasama yang lebih erat dengan pelanggan, rakan kongsi dan vendor.

“Walaupun terdapat cabaran yang ditimbulkan oleh proses penstrukturan semula yang berterusan, kami berazam untuk memajukan pencapaian ‘Reset’ dan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran Sapura Energy,” katanya dalam kenyataan.

Buku pesanan kumpulan kini berjumlah RM5 bilion, manakala buku pesanan yang dipegang oleh syarikat usaha sama dan entiti bersekutu kumpulan berjumlah RM3 bilion.

Segmen E&C dan operasi dan penyelenggaraan (O&M) syarikat sedang giat mengejar beberapa prospek, menumpukan pada fabrikasi, pengangkutan & pemasangan, serta pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan dasar laut.

Kumpulan juga akan meneroka peluang dalam projek Peralihan Tenaga, termasuk penyahtauliahan luar pesisir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×