PETALING JAYA: Bursa Malaysia mengalami penurunan selepas mencatatkan kenaikan baru-baru ini untuk dibuka rendah pada Rabu, apabila pelabur mengambil untung susulan pasaran mencapai paras tertinggi baharu serta menilai prestasi tidak menentu di Wall Street, kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.91 mata kepada 1,762.34 daripada 1,771.25 ketika ditutup semalam, selepas dibuka 1.46 mata lebih rendah pada 1,769.79.
Secara keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 238 berbanding 172, manakala 344 kaunter tidak berubah, 1,995 kaunter tidak diniagakan dan 94 yang lain digantung dagangan. Jumlah dagangan mencecah 285.14 juta saham bernilai RM176.10 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn. Bhd. , Thong Pak Leng berkata, penurunan itu mencerminkan jeda jangka pendek ketika pasaran menilai aliran meningkat yang dicatatkan sebelum ini.
Katanya, FBM KLCI bagaimanapun masih mengekalkan momentum positif selepas melonjak melepasi paras 1,770 pada sesi terdahulu.
“Setakat ini bagi 2026, indeks penanda aras telah meningkat kira-kira 100 mata dan berpotensi mencapai sasaran Rakuten Trade bagi 2026 iaitu 1,810 lebih awal daripada jangkaan, disokong oleh aliran masuk dana asing yang berterusan,” katanya.
Thong berkata, indeks itu dijangka bergerak dalam julat 1,770 hingga 1,785 hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Wall Street ditutup bercampur-campur menjelang musim laporan pendapatan, selain jangkaan bahawa keputusan pertama Rizab Persekutuan mengenai kadar faedah tahun ini adalah kekal tidak berubah. – UTUSAN










