Perdagangan catat pertumbuhan RM252.48 bilion pada Mei

Perdagangan catat pertumbuhan RM252.48 bilion pada Mei

PELABUHAN Tanjung Pelepas.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia meningkat 2.6 peratus kepada RM252.48 bilion pada Mei lalu, sekali gus mencatat jumlah bulanan tertinggi pernah direkodkan dengan pertumbuhan positif tahun ke tahun bagi bulan ke-17 berturut-turut sejak Januari 2024.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, eksport mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 1.1 peratus kepada RM126.62 bilion, manakala import meningkat 6.6 peratus kepada RM125.86 bilion, mengekalkan lebihan dagangan bagi 61 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, dengan nilai RM766.3 juta.

“Eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) terus mencatat prestasi memberangsangkan pada Mei 2025, dengan pertumbuhan hampir RM4 bilion.

“Pencapaian ini sejajar dengan unjuran Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS)  yang menganggarkan jualan semikonduktor global meningkat 11.2 peratus pada 2025.

“Sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global, Malaysia dijangka meraih manfaat besar daripada perkembangan ini.

“Bagaimanapun, masih terdapat cabaran dalam persekitaran perdagangan global yang tidak menentu. Meskipun prospek kekal positif, pelaksanaan dasar yang proaktif penting untuk memastikan momentum pertumbuhan ini dapat dikekalkan,” katanya dalam kenyataan. 

Dari segi destinasi, MITI berkata, eksport ke negara rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terus mencatat pertumbuhan kukuh, manakala eksport ke Taiwan bukan sahaja meningkat malah mencapai paras tertinggi baharu.

“Eksport ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terutamanya United Kingdom dan New Zealand turut mencatat pertumbuhan, disokong oleh peningkatan eksport barangan perkilangan berasaskan minyak sawit,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, perdagangan, eksport dan import Malaysia masing-masing mencatat rekod nilai kumulatif tertinggi.

“Perdagangan meningkat 6.2 peratus kepada RM1.23 trilion berbanding tempoh sama 2024, dengan eksport berkembang 5.5 peratus kepada RM638.48 bilion dan import naik 6.9 peratus kepada RM591.54 bilion. Lebihan dagangan berjumlah RM46.94 bilion, susut 9.4 peratus,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, MITI berkata, pihaknya bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang memperkukuh pelbagai inisiatif strategik bagi meningkatkan daya tahan ekosistem perdagangan negara dan memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.

Sementara itu, dalam laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 yang diterbitkan baru-baru ini, Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi, berbanding tempat ke-34 pada tahun lalu.

“Pencapaian ini merupakan prestasi terbaik negara sejak 2020 dan mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin pulih terhadap tadbir urus ekonomi serta hala tuju dasar Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN