Harga rumah naik setiap tahun bebankan bakal pembeli

Harga rumah naik setiap tahun bebankan bakal pembeli

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENINGKATAN harga rumah yang berterusan menyebabkan ramai rakyat negara ini menangguhkan niat untuk membeli hartanah tersebut.

Dalam laporan tahunan 2021, Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa rumah adalah sangat tidak mampu dimiliki di semua negeri kecuali Melaka.

Sementara itu, Tinjauan Hartanah IQI – Suku Keempat Malaysia 2023 pula mengunjurkan kenaikan 9.95 peratus dalam harga kediaman pada 2014 atau 12 bulan akan datang.

Menurut kajian tersebut, industri menjangkakan harga meningkat sebanyak 9.7 peratus dan sewa sebanyak 9.9 peratus khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata berpendapat harga rumah naik saban tahun yang menyebabkan hasrat untuk membeli rumah tertangguh kerana komitmen yang tinggi.

Seorang pekerja swasta, Muhammad Amiruddin Azizi, 27, berkata, gajinya yang hanya RM1,500 menyebabkan niat untuk memiliki rumah di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang berharga sekitar RM300,000 adalah agak sukar.

Bapa kepada seorang anak berusia dua bulan itu berkata, peningkatan harga dilihat walaupun dalam masa beberapa tahun sahaja.

“Dalam tiga tahun lepas, satu tengok harga rumah teras satu tingkat boleh didapati dalam harga RM170,000 hingga RM180,000 di kawasan ini. Tapi pada masa itu, gaji saya belum naik kepada RM1,500 lagi.

“Sekarang, harga rumah jenis yang sama sudah mening­kat antara RM300,000 hingga RM400,000. Tambahan pula di kawasan Batu Kawan yang banyak pembangunan,” katanya.

Dia berharap agar kerajaan dapat mencari satu cara untuk membantu rakyat memiliki rumah seperti skim sewa beli yang membantu golongan sepertinya untuk ada rumah sendiri.

Seorang penjawat awam yang hanya ingin dikenali sebagai Amalina, 30, berkata, peningkatan harga rumah bukan sahaja berlaku di bandar utama tetapi juga di tempatnya bekerja iaitu di Gurun, Kedah.

Katanya, dia pernah membuat tinjuan untuk membeli rumah pada 2021 dan mendapati rumah teras satu tingkat boleh dibeli pada harga RM100,000 ke atas.

“Bagaimanapun, apabila saya meninjau harga rumah teras satu tingkat baru-baru ini, saya dapati harga sudah naik kepada RM200,000. Peningkatan ini berlaku dalam masa beberapa tahun ini sahaja.

“Mungkin kawasan Gurun semakin membangun menyebabkan harga rumah di sini pun sudah mula meningkat,” jelasnya.

Doktor gigi itu berkata, beliau memilih untuk menyewa  buat masa ini kerana masih belum mengetahui status kontraknya dan bimbang dengan keadaan pasaran jika berlaku kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang boleh menaikkan kadar faedah pinjaman.

Sementara itu, pengurus kaunter hadapan hotel, Muhammad Nur Hidayat Abdullah, 40, mengakui harga rumah ketika ini agak tinggi dan menyukarkan rakyat terutamanya yang muda dan baru bekerja untuk membeli.

“Mungkin kerajaan boleh mencari penyelesaian untuk membantu masalah kenaikan harga rumah ini,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×