PETALING JAYA: Sime Darby Plantation Berhad memerlukan kira-kira 5,000 pekerja asing pada tahun ini bagi mengisi kekurangan tenaga kerja dalam syarikat tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, 5,000 pekerja asing yang diperlukan itu adalah untuk kerja-kerja menuai dan memangkas.
“Kami tidak melantik mereka sebagai pekerja am kerana kami mahu menarik minat pekerja tempatan selain mahu menggunakan penyelesaian automasi mekanikal.
“Buat masa ini, kami hanya mengambil pekerja asing dari Indonesia. Kebiasaannya pada bulan puasa dan Hari Raya mereka tidak akan masuk ke dalam Malaysia.
“Kerana itu, kami telah hilang dua bulan. Justeru, kami menyasarkan masalah ini dapat diselesaikan pada Mei atau Jun tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum pandemik Covid-19, kumpulan mempunyai 75 peratus pekerja asing dan 25 peratus pekerja tempatan manakala kini, syarikat tersebut mempunyai 65 peratus pekerja asing dan 35 peratus pekerja tempatan.
Melangkah ke hadapan, Mohamad Helmy berkata, kumpulan akan mengurangkan jumlah peratusan pekerja asingnya menerusi inisiatif yang sedang dilaksanakan sekarang.
Sementara itu, Sime Darby Plantation juga menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) akan kekal pada paras semasa bagi suku pertama 2023 berikutan permintaan kukuh yang berterusan.
Sebahagiannya disebabkan lebihan harga yang agak besar jika dibandingkan dengan minyak alternatif dan kebimbangan bekalan hasil daripada jangkaan mandat biodiesel Indonesia yang lebih tinggi serta dasar eksport yang lebih ketat.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, Sime Darby Plantation mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.49 bilion, mewakili pendapatan sesaham sebanyak 36 sen, meningkat daripada RM2.26 bilion atau 32.60 sen sesaham pada tahun sebelumnya.
Kumpulan itu melaporkan pendapatan RM21.03 bilion pada tahun ini berbanding RM18.7 bilion pada 2021.
Menurut kumpulan itu, prestasi itu disokong oleh prestasi kukuh operasi hiliran kumpulan, Sime Darby Oils, yang mencapai lonjakan 61 peratus tahun ke tahun dalam keuntungan sebelum faedah dan cukai kepada RM859 juta.
Sementara itu, harga minyak sawit mentah (MSM) realisasi purata yang lebih tinggi, peningkatan 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, mengurangkan penurunan 10 peratus dalam pengeluaran buah tandan segar (BTS).
Bagi suku berakhir 31 Disember 2022, keuntungan bersih kumpulan meningkat 20 peratus kepada RM562 juta, walaupun masing-masing merosot 2.0 peratus dan 4.0 peratus dalam pengeluaran BTS dan harga MSM direalisasikan berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Hasil bagi suku tersebut meningkat 2.16 peratus kepada RM5.67 bilion daripada RM5.55bilion pada suku keempat tahun kewangan 2021.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen sebanyak 6.04 sen sesaham, yang menjadikan pembayaran setahun penuhnya kepada 16.04 sen sesaham. – UTUSAN