PUTRAJAYA: Aspek pendigitalan menjadi kuasa kritikal demi mempergiatkan semula pertumbuhan dan pemulihan ekonomi di ASEAN pasca pandemik Covid-19.
Usahawan Malaysia terkemuka dan ahli panel tetap Forum Ekonomi Dunia (WEF), Datuk Seri Vijay Eswaran berkata, ekonomi digital rantau ini kini bernilai lebih AS$100 bilion (RM441.82 bilion) dengan bilangan pengguna internet meningkat lebih 10 peratus kepada 400 juta orang.
Katanya, hampir 70 peratus penduduk ASEAN kini dalam talian, jauh melebihi kadar global sebanyak 60 peratus.
Bagaimanapun, jelas beliau, bagi kebanyakan rakyat ASEAN, kualiti internet rendah atau peranti digital yang mahal menjadi kekangan mereka untuk meraih manfaat saksama daripada ekonomi digital inklusif.
“Ini termasuk kekurangan kemahiran digital dan kepercayaan serta kebimbangan keselamatan menerusi penggunaan digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau baru-baru ini menghadiri mesyuarat tahunan WEF di Davos yang turut disertai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Vijay yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan QI yang menjadi ahli WEF sejak 2009 berkata, ASEAN perlu segera meningkatkan kemahiran tenaga kerja untuk menangani halangan kepada penggunaan digital.
Jelasnya, sektor perniagaan mesti cepat bekerjasama dengan vendor atau perniagaan berstatus daya maju bagi memudahkan transformasi digital dengan meningkatkan kemahiran dan inisiatif bagi memastikan generasi digital dilengkapi untuk dunia pasca pandemik. – UTUSAN










