Sejak akhir-akhir ini, ramai pelancong yang memilih untuk pergi melawat ke kawasan kutub utara dan selatan bagi menikmati pemandangan indah di situ, namun pertumbuhan mendadak industri pelancongan di kawasan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar alam sekitar yang memberi amaran mengenai kesan buruk terhadap ekosistem yang rapuh.
Di Greenland, peningkatan jumlah pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini jelas ketara antara 2018 hingga 2023, di mana bilangan pelawat ke negara itu meningkat sebanyak 46 peratus, dengan 131,767 orang tiba pada tahun lalu.
Faktor utama lonjakan ini adalah peningkatan operasi kapal persiaran di perairan Artik.
Menurut Majlis Artik, bilangan kapal yang memasuki zon berkawal Kod Kutub Artik meningkat sebanyak 37 peratus sejak 2013 hingga 2024 dan dengan pembukaan lapangan terbang baharu di
Nuuk pada 2024 serta dua lagi lapangan terbang antarabangsa yang akan siap pada 2026, jumlah pelancong dijangka terus meningkat.
Di Hemisfera Selatan, Antartika juga mengalami lonjakan pelancongan serupa. Menurut laporan Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), antara tahun 2022-2023, sebanyak 104,897 pelancong mengunjungi benua itu, meningkat kepada 124,262 pada tahun lalu.
Lebih 80,000 orang daripada jumlah itu telah menjejakkan kaki ke daratan Antartika, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli pemuliharaan yang menyuarakan kebimbangan bahawa kehadiran manusia boleh mengganggu ekosistem dan tingkah laku haiwan di situ.
Kesan pelancongan dan pilihan pengangkutan
Menurut Pakar ekologi marin dari Universiti Durham, James Grecian, pelancong perlu membuat pilihan yang lebih bertanggungjawab bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
“Kapal persiaran membawa segala keperluan bersama mereka, jadi masyarakat tempatan sering tidak mendapat manfaat ekonomi kerana pelancong tidak berbelanja di kafe atau hotel tempatan,” katanya.

Tambah beliau, pelancong yang menaiki kapal terbang cenderung menggunakan perkhidmatan tempatan, tetapi perlu mengambil kira kesan pelepasan karbon yang tinggi.
Meskipun kapal dianggap sebagai alternatif lebih hijau berbanding kapal terbang, namun data global menunjukkan sebaliknya. Ini kerana Industri penerbangan menyumbang 2.5 peratus pelepasan karbon dioksida, manakala perkapalan pula menyumbang sebanyak 3 peratus, dengan sebahagian besar pelepasan datang daripada kapal kargo.
Satu lagi fakta yang perlu kita tahu adalah bunyi daripada enjin kapal juga sebenarnya boleh mengganggu sistem ekolokasi ikan paus.
“Jika anda boleh menaiki kereta api, itu pilihan terbaik. Perjalanan dengan kereta api mengurangkan pelepasan karbon sehingga 90 hingga 95 peratus,” kata Grecian. Kereta api boleh membawa pelancong ke beberapa bahagian Artik, seperti dari Stockholm ke Narvik di Norway, atau dari Helsinki ke Rovaniemi di Finland.
Penghormatan kepada hidupan liar dan budaya tempatan
Di samping itu, Grecian juga mengingatkan pelancong agar tidak mengganggu hidupan liar demi swafoto.
“Jangan kejar haiwan untuk mendapatkan gambar. Jika anda duduk diam, haiwan seperti penguin mungkin akan mendekati anda dengan sendiri,” katanya.
Dalam aspek makanan, beliau mencadangkan agar pelancong mempertimbangkan untuk mencuba makanan tempatan seperti daging anjing laut, yang mempunyai jejak karbon lebih rendah berbanding daging import.
Di Greenland dan Kanada, masyarakat Inuit masih lagi bergantung kepada pemburuan anjing laut sebagai sumber makanan utama, dan ia dikawal ketat bagi memastikan kelestarian populasi haiwan tersebut.
Persiapan dan masa terbaik untuk berkunjung
Pelancong juga digalakkan menyewa peralatan di lokasi bagi mengurangkan beban bagasi serta menyokong ekonomi tempatan.
Selain itu, Grecian menasihatkan supaya membawa semburan hidung bagi mengatasi masalah hidung kering di cuaca sejuk, serta pelindung matahari SPF 50 bagi mengelakkan selaran matahari akibat pantulan cahaya dari salji dan ais.
Dalam merancang lawatan, beliau menekankan kepentingan memahami corak migrasi haiwan dan fenomena alam.
“Jika anda mahu melihat paus atau bergambar dengan latar belakang gunung ais, ketahui waktu terbaik untuk berkunjung,” katanya.
Jelasnya, pelancongan ke kawasan kutub harus dilakukan dengan penuh kesedaran serta menghormati alam semula jadi, bukannya semata-mata untuk kandungan media sosial. – UTUSAN
– AGENSI










