PETALING JAYA: Jaminan pembiayaan perumahan RM20 bilion menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dalam Belanjawan 2027 dijangka memperluas akses pembiayaan kepada pembeli dalam sektor hartanah.
Ketua Pegawai Operasi, Perancangan Kumpulan dan Perkhidmatan Korporat M K Land, Nazri Tumin berkata, pengecualian penuh duti setem bagi rumah pertama sehingga RM500,000 dan pengecualian sebahagian bagi rumah sehingga RM750,000 pula mengurangkan beban kos awal pembeli rumah pertama.
“Usaha memperluas akses kepada pembiayaan dan mengurangkan kos permulaan pembelian membantu lebih ramai rakyat Malaysia merealisasikan hasrat memiliki kediaman sendiri.
“Dari sudut pemaju, pengenalan semula klausa Perubahan Harga atau Variation of Price (VOP) menunjukkan Kerajaan peka terhadap tekanan kos pembinaan yang meningkat.
“Bagaimanapun, Nazri berkata, kos pembinaan, proses kawal selia dan keseluruhan kos pembangunan perlu terus dipantau supaya pemaju mampu menawarkan rumah berkualiti pada harga yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pendekatan seimbang Belanjawan 2027 bukan sahaja memberi tumpuan kepada keperluan ekonomi semasa, malah turut menggariskan langkah jangka panjang bagi memperkukuh daya saing industri, menggalakkan pelaburan sektor swasta dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Belanjawan 2027 mengiktiraf kepentingan menyokong perniagaan dan pengguna serentak, terutama dalam sektor hartanah, pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Persekitaran perniagaan yang berdaya tahan dan keyakinan pengguna yang kukuh saling berkait rapat, kerana apabila industri terus melabur dan berkembang secara mampan, rakyat turut merasai manfaatnya melalui peluang pekerjaan dan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Nazri Tumin berkata, pelaburan RM15 bilion untuk memperkukuh grid elektrik negara dapat menangani salah satu cabaran utama pembangunan projek solar dan tenaga bersih terutama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, lanjutan Elaun Cukai Pelaburan Teknologi Hijau sehingga 100% bagi pelaburan layak hingga 31 Disember 2030 turut memberi keyakinan kepada pelabur jangka panjang.
“Projek tenaga boleh diperbaharui memerlukan modal besar dan perancangan jangka panjang, justeru kepastian dasar, akses pembiayaan dan infrastruktur yang berdaya harap penting untuk terus menarik sektor swasta.
“Keberkesanan semua langkah ini bergantung kepada pelaksanaan yang teratur serta kerjasama berterusan antara Kerajaan dan pemain industri.
“Kami berharap pelaksanaan inisiatif ini disusuli libat urus berterusan antara Kerajaan dan sektor swasta supaya pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada manfaat yang bermakna dan berkekalan untuk seluruh rakyat,” katanya.
Syarikat itu kini mengendalikan loji solar 10.95 MWac di Kerian, Perak di bawah Large Scale Solar 4 (LSS4), selain membangunkan projek 29.99 MWac di Kulim, Kedah menerusi Corporate Green Power Programme (CGPP). – UTUSAN











