PADA 2026, ekonomi dijangka berkembang antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan meskipun berdepan persekitaran luaran yang mencabar.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027, permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan disokong oleh penggunaan swasta yang mampan, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan dan keyakinan pengguna yang berterusan.
“Sementara itu, aktiviti pelaburan dijangka memberangsangkan berikutan perbelanjaan sektor swasta yang kukuh dan pelaksanaan berterusan projek strategik.
“Dari sudut penawaran, pertumbuhan akan dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. Sektor perkhidmatan akan memperoleh manfaat daripada aktiviti berkaitan pelancongan yang mampan serta aliran dagangan yang kukuh di samping penerimagunaan teknologi digital, manakala sektor pembuatan akan dipacu oleh permintaan lebih kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta peluasan berterusan aktiviti bernilai tinggi,” menurut laporan.
Dalam pada itu, ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.2 peratus dan 5.2 peratus pada 2027 disokong oleh permintaan domestik yang mampan, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, peningkatan pertumbuhan pendapatan serta aktiviti pelaburan yang kukuh.
“Penggunaan swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan didorong oleh peningkatan kuasa beli isi rumah serta pengembangan berterusan dalam sektor pelancongan, peruncitan, pengangkutan dan perkhidmatan lain seiring dengan kempen Melawat Malaysia 2026-2027.
“Aktiviti pelaburan dijangka kekal rancak susulan pelaksanaan pelaburan yang diluluskan serta inisiatif strategik di bawah RMK13, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.
Menurut laporan, sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan manakala sektor pembuatan akan mendapat manfaat daripada kitaran menaik teknologi dan peluasan aktiviti bernilai tinggi khususnya dalam industri semikonduktor dan E&E.
“Di samping itu, rantaian ekonomi domestik yang lebih teguh dan pelaburan berteraskan peningkatan produktiviti dijangka memperkukuh kapasiti produktif Malaysia seterusnya menyokong pertumbuhan yang lebih seimbang, inklusif dan mampan.
“Namun demikian, prospek pertumbuhan masih dipengaruhi oleh risiko luaran termasuk ketegangan geopolitik, peralihan dasar perdagangan antarabangsa dan volatiliti pasaran kewangan global,” katanya.-UTUSAN











