PETALING JAYA: MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo), IAG Cargo dan Qatar Airways Cargo berjaya melengkapkan penghantaran percubaan pertama melibatkan pelanggan yang merentasi ketiga-tiga syarikat penerbangan itu.
Ini sekali gus menjadi pencapaian penting menjelang pelancaran penuh Global Cargo Joint Business pada akhir tahun ini.
Penghantaran tersebut membabitkan 11 tan kerajang tembaga dari Kuala Lumpur (KUL) ke Chicago O’Hare (ORD), melalui Doha (DOH) dan Dublin (DUB).
Percubaan itu menjadi demonstrasi awal keupayaan rangkaian gabungan ketiga-tiga syarikat penerbangan dalam menyediakan pergerakan kargo merentasi pelbagai hab, rantau dan rangkaian secara lebih bersepadu.
Kerajang tembaga merupakan komponen penting dalam pengeluaran elektronik berteknologi tinggi dan bateri kenderaan elektrik, sekali gus mempunyai peranan dalam menyokong perkembangan sektor digital serta peralihan tenaga global.
Penghantaran dari Malaysia yang merupakan antara hab utama pembuatan elektronik turut memperlihatkan potensi kerjasama berkenaan dalam menghubungkan pusat pengeluaran di Asia dengan pasaran permintaan global.
Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Mark Jason Thomas berkata, kejayaan penghantaran pertama itu memperlihatkan potensi kerjasama berkenaan dalam membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan.
“Bagi MASkargo, melihat penghantaran pertama ini bergerak dari Malaysia merentasi rangkaian rakan kongsi kami menunjukkan potensi kerjasama ini dalam mengukuhkan hubungan antara pusat pengeluaran Asia dan pasaran global.
“Ketika kami menuju ke arah pelancaran, tumpuan bersama adalah untuk menterjemahkan potensi itu kepada akses pasaran yang lebih luas, fleksibiliti lebih tinggi dan nilai jangka panjang kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Global Cargo Joint Business yang diumumkan pada 2025 itu menghimpunkan tiga pengendali kargo udara bagi membentuk rangkaian lebih luas dan bersepadu.
Apabila dilancarkan sepenuhnya, pelanggan dijangka mendapat akses kepada lebih 400 destinasi di enam benua menerusi satu rangkaian yang saling berhubung, selain pilihan laluan lebih fleksibel dan akses lebih pantas ke pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IAG Cargo, David Shepherd berkata, penyelesaian penghantaran trilateral pertama itu merupakan pencapaian penting dalam persiapan pelancaran Global Cargo Joint Business.
“Ketiga-tiga syarikat penerbangan kini menyelaraskan operasi, sistem dan kepakaran bagi memastikan operasi bersama dapat dilaksanakan secara lancar merentasi rangkaian masing-masing,” katanya.
Ketua Pegawai Kargo Qatar Airways Cargo, Mark Drusch pula berkata, penghantaran berkenaan menunjukkan tahap penyelarasan operasi, kesalinghubungan dan pendekatan berorientasikan pelanggan yang akan menjadi asas kepada perniagaan bersama itu.
Katanya, penggabungan rangkaian dan kepakaran ketiga-tiga syarikat penerbangan akan menyediakan tawaran kargo global dengan capaian lebih luas, pilihan laluan lebih fleksibel dan kecekapan yang dipertingkatkan.
Awal tahun ini, IAG Cargo dilantik sebagai ejen pengendalian darat Qatar Airways Cargo di Dublin dan Madrid, masing-masing merupakan hab strategik bagi Global Cargo Joint Business.
Perkembangan itu, bersama pengenalan operasi pengendalian MASkargo di London Heathrow tahun lalu, menyokong proses integrasi operasi yang diperlukan bagi merealisasikan kerjasama berkenaan.
Ketiga-tiga syarikat penerbangan akan meneruskan percubaan operasi dan aktiviti integrasi menjelang pelancaran Global Cargo Joint Business yang dirancang pada akhir tahun ini.
Pelanggan juga boleh membuat tempahan penghantaran menerusi platform tempahan dalam talian mana-mana daripada ketiga-tiga syarikat penerbangan berkenaan. – UTUSAN










