KUALA LUMPUR: Malaysia tidak lagi akan meluluskan pembinaan loji jana kuasa berasaskan arang batu, dengan operasi loji terakhir itu dijangka berakhir sekitar 2044.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pada masa sama, negara dijangka memerlukan kira-kira sembilan gigawatt (GW) kapasiti jana kuasa gas bagi memenuhi keperluan sistem tenaga pada masa depan.
Beliau berkata, perancangan penambahan kapasiti itu perlu diurus Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi memastikan permintaan tenaga dapat dipenuhi tanpa menjejaskan komitmen negara mengurangkan jejak karbon sektor tenaga.
“Dari segi komitmen kerajaan, kita sememangnya tidak lagi meluluskan mana-mana loji jana kuasa berasaskan arang batu dan fasa penamatan itu akan berakhir sekitar tahun 2044.
“Itu akan menjadi loji jana kuasa arang batu terakhir yang ditamatkan operasinya.
“Pada masa sama, berdasarkan angka yang dikongsikan, kita menjangkakan keperluan kira-kira sembilan GW untuk dimasukkan ke dalam sistem melalui loji jana kuasa gas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Wawasan Kawal Selia Tenaga 2026 (ERI) anjuran Suruhanjaya Tenaga di sini, hari ini.
Menurut Akmal, perubahan corak cuaca turut memberi kesan terhadap permintaan tenaga, khususnya apabila suhu meningkat dan penggunaan sistem penyejukan serta pendingin hawa bertambah.
Ujarnya, pengurusan permintaan tenaga perlu diberi perhatian sama penting dengan usaha memastikan bekalan tenaga mencukupi.
“Melangkah ke depan, pengurusan permintaan tenaga akan menjadi sama penting dengan pengurusan bekalan tenaga.
“Justeru, saya fikir untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Malaysia perlu cukup berdisiplin untuk memastikan sistem kita terus dinaik taraf, bukan saja dari segi kuasa yang dihasilkan tetapi juga dari segi grid dan infrastruktur supaya sistem kekal mampu milik, selamat dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal berkata, reformasi tenaga kini bukan lagi sekadar agenda berkaitan sektor atau kawal selia, sebaliknya menjadi antara teras penting dasar ekonomi negara.
“Kos, kebolehpercayaan dan profil karbon tenaga akan mempengaruhi lokasi pelabur menjalankan operasi, daya saing industri, kepantasan teknologi baharu digunakan serta usaha melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
Sementara itu, menyentuh isu jerebu, Akmal berkata, keadaan berkenaan perlu diberi perhatian susulan fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun depan.
Beliau berkata, keadaan cuaca itu turut boleh mengubah corak penggunaan tenaga, terutama ketika suhu meningkat dan permintaan terhadap penghawa dingin bertambah.
Tambahnya, langkah mitigasi sedang diselaraskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), termasuk kemungkinan pelaksanaan pembenihan awan sekiranya diperlukan. – UTUSAN









