PETALING JAYA: GoldNow memperkenalkan dua ciri baharu, iaitu Hadiah Emas (Gold Gifting) dan Simpanan Emas (Gold Savings), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform pengumpulan emas di Malaysia.
GoldNow yang dilancarkan oleh Tomei Group membolehkan rakyat Malaysia mengumpul emas dengan mudah menerusi platform mudah alih yang selamat dan mudah diakses.
Pengarah Urusan Kumpulan Tomei Consolidated Berhad, Datuk Ng Yih Pyng, berkata GoldNow percaya emas perlu mudah diakses, bermakna dan relevan dalam kehidupan seharian.
“Pengenalan ciri Hadiah Emas dan Simpanan Emas merupakan pencapaian penting dalam usaha kami menjadikan pengumpulan emas lebih bermatlamat untuk rakyat Malaysia.
“Sama ada mengetepikan emas untuk impian masa depan atau menghadiahkannya kepada insan tersayang, kami mahu memperkasakan lebih ramai individu untuk bermula dengan jumlah kecil, kekal konsisten dan membina nilai yang berkekalan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Penambahbaikan itu bertujuan membantu pengguna mengumpul emas dengan matlamat yang lebih jelas, sama ada untuk meraikan pencapaian peribadi, merealisasikan impian keluarga, membuat persediaan bagi komitmen masa depan atau sebagai hadiah bermakna kepada insan tersayang.
Beliau berkata, komitmen kewangan harian sering menyukarkan individu mengetepikan wang untuk simpanan, manakala pembelian emas secara tradisional pula boleh dianggap membebankan berikutan kos permulaan yang tinggi dan proses yang lebih kompleks.
“Menerusi ciri Simpanan Emas, pengguna boleh mengumpul emas secara konsisten dengan jumlah sumbangan yang kecil dan mampu milik.
“Pendekatan ini membantu pengguna membina tabiat menyimpan secara berdisiplin serta mencapai matlamat kewangan jangka panjang dengan lebih mudah.
“Sementara itu, ciri Hadiah Emas membolehkan individu dan perniagaan menghantar emas secara terus menerusi aplikasi, dengan jumlah serendah 0.001 gram.
“Ciri berkenaan turut menawarkan alternatif moden dan bernilai kekal kepada syarikat berbanding hamper korporat serta ganjaran tradisional, selain memberikan pengguna pilihan yang lebih bermakna untuk meraikan pelbagai acara bersama rakan dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tomei Digital, Geh Yang Chia berkata, syarikat itu memperkenalkan ciri Simpanan Emas kerana percaya kejayaan dalam mengumpul emas dibina berasaskan dua prinsip utama iaitu konsistensi dan disiplin.
“Daripada cuba meramalkan pergerakan pasaran, kami menggalakkan pengguna mengumpul emas secara berkala dari semasa ke semasa.
“Dengan membuat sumbangan secara konsisten, pengguna dapat mempuratakan kos pengumpulan mereka dalam keadaan pasaran yang berbeza, di samping membina tabiat kewangan yang mampan bagi menyokong matlamat jangka panjang mereka.
“Ramai rakyat Malaysia menyimpan dengan tujuan tertentu, sama ada untuk Umrah, pendidikan anak, persediaan perkahwinan atau komitmen keluarga pada masa hadapan.
“Justeru, Tabung Simpanan Emas menyediakan kaedah yang mudah dan tersusun untuk membantu mereka kekal fokus terhadap aspirasi tersebut,” katanya. – UTUSAN










