Tourism Malaysia, Foodie Media perkukuh promosi pelancongan negara - Utusan Malaysia

Tourism Malaysia, Foodie Media perkukuh promosi pelancongan negara

MOHD Akbal Setia (kiri) dan Nicholas Lim Pinn Yang selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh promosi produk dan pengalaman pelancongan Malaysia sempena kempen Melawat Malaysia 2026-2027 di Sunway Square Corporate Tower. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Tourism Malaysia dan Foodie Media Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh promosi produk dan pengalaman pelancongan Malaysia selaras dengan kempen Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027).

Kerjasama menerusi anak syarikat milik penuh Foodie Media, Good Foodie Media Sdn. Bhd. (GFM) itu memberi tumpuan kepada warisan kulinari, tarikan budaya dan gaya hidup.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia berkata, kerjasama itu memperkukuh usaha agensi berkenaan memanfaatkan platform digital dan kandungan kreatif bagi mempromosikan kepelbagaian produk pelancongan Malaysia menerusi kempen Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Foodie Media banyak membantu mempromosikan makanan, masakan dan gastronomi Malaysia ke seluruh dunia menerusi platformnya yang mempunyai capaian lebih 50 juta orang.

“Ia menunjukkan potensi besar melalui kerjasama ini dalam memperluas promosi pelancongan Malaysia,” katanya pada majlis memeterai MoU antara kedua-dua pihak di sini.

Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran susulan perkembangan di Asia Barat, jumlah ketibaan pelawat ke Malaysia kekal mencatat pertumbuhan positif.

“Dari Januari hingga Jun tahun ini, Malaysia menerima lebih 21 juta pelawat, meningkat 2.5 peratus dan kita berharap jumlah itu terus meningkat kepada lebih 42 juta hingga 47 juta pelawat menjelang akhir tahun seperti sasaran awal.

“Bagi kempen VM2026-2027, kita menyasarkan kira-kira 47juta pelawat dan berharap kerjasama ini dapat membantu mencapai sasaran berkenaan.” ujarnya.

Kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kepakaran dalam pemasaran destinasi dan penghasilan kandungan digital bagi meningkatkan kesedaran terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Pada masa sama, kerjasama berkenaan dijangka menggalakkan pelancong tempatan dan antarabangsa meneroka kepelbagaian pengalaman pelancongan yang ditawarkan negara.

Di bawah MoU berkenaan, GFM akan menyokong penghasilan dan pengedaran kandungan digital berkaitan VM2026-2027 serta acara berkaitan, selain menyediakan liputan media di lapangan bagi acara terpilih Tourism Malaysia, termasuk festival makanan dan aktiviti di lokasi warisan.

Tourism Malaysia pula akan menyediakan GFM dengan maklumat terpilih mengenai produk dan pengalaman pelancongan Malaysia, termasuk gastronomi, gaya hidup, tarikan dan destinasi baharu, selain memudahkan penyertaan GFM dalam acara terpilih Tourism Malaysia sepanjang 2026.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang berkata, mempromosikan Malaysia menjadi misi syarikat berkenaan sejak ditubuhkan pada 2016.

“Kami bermula pada 2016 dengan hanya satu halaman mengenai makanan di Pulau Pinang dan sejak itu, segala yang kami bina adalah untuk mengetengahkan apa yang ditawarkan negara ini.

“Tahun lalu, kami melancarkan sebuah jenama yang dinamakan Malaysia.

“Kerjasama dengan Tourism Malaysia kini membolehkan kami mengetengahkan lebih banyak mengenai negara ini kepada khalayak yang sememangnya mengikuti kami untuk mendapatkan idea mengenai tempat untuk dikunjungi dan aktiviti yang boleh dilakukan,” katanya.

Tempoh kempen yang lebih panjang itu membuka peluang kepada Tourism Malaysia dan pemain industri untuk mengekalkan permintaan pelancongan, meningkatkan kesedaran terhadap destinasi serta mempromosikan kepelbagaian produk pelancongan Malaysia di pasaran utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini